UNL: Kad merah Maguire punca kekalahan England 

Oleh Shaiful Shamsudin 15 Oktober 2020 1901
UNL: Kad merah Maguire punca kekalahan England 
ENGLAND 0 DENMARK 1 

Harry Kane menegaskan bahawa England tidak mempunyai masalah disiplin sambil berharap Harry Maguire akan bangkit selepas pertahanan itu dilayangkan kad merah ketika menentang Denmark.


Selepas mengharungi detik sukar di dalam dan di luar padang dalam beberapa bulan terakhir, Maguire diperintahkan keluar padang sebaik mengutip kad kuning kedua dalam separuh masa pertama, sekali gus tumbang 0-1 dalam Liga Negara-Negara (UCL) di Stadium Wembley, awal pagi tadi. 

10 pemain England dibolosi tidak lama setelah pertahanan pusat itu meninggalkan padang, sepakan penalti tersebut membolehkan Christian Eriksen menyumbat gol pemisah perlawanan terbabit. 

Pemain yang membuat penampilan pertama, Reece James, turut dibuang padang sejurus wisel penamat berikutan bantahan yang dilakukannya. 

Ini bermakna buat pertama kalinya England mengumpul tiga kad merah dalam kempen tahun ini, namun ketua pasukan itu menolak sebarang cadangan bahawa kem pasukan The Three Lions berkenaan mempunyai masalah disiplin.

"Saya rasa ia bukannya didorong masalah disiplin," kata penyerang Tottenham itu kepada Sky Sports. 

"Ia adalah malam yang menyaksikan kami mengerahkan segala kudrat. 

"Saya tidak boleh menyalahkan pemain lain dalam aspek itu. Kami adalah sebuah pasukan dan kami telah bekerja sangat keras agar penyokong menyebelahi kami. Terpulang kepada kami untuk terus bersikap profesional dan menjadi contoh di luar padang.

"Semangat yang kami tonjolkan selepas dia dibuang padang adalah sesuatu yang bagus."

 



Maguire terlepas pertemuan pertama dengan Denmark gara-gara didapati bersalah di sebuah mahkamah Greece berhubung kes serangan, tidak memberi kerjasama dan cubaan merasuah. Keputusan awal mahkamah itu ditangguhkan sementara rayuannya dipertimbangkan.

Pemain berusia 27 tahun itu bergelut pada awal musim apabila gagal mengemudi Manchester United dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas 1-6 kepada Tottenham di laman sendiri sebelum rehat antarabangsa.

Kane, yang menyumbat dua gol dalam kemenangan Spurs ke atas The Red Devils di Old Trafford, dengan pantas menawarkan sokongan kepada rakan sepasukannya di peringkat antarabangsa.

"Dia berdepan beberapa cabaran, tentu saja, dia mahu bangkit," katanya mengenai bekas tonggak Leicester City terbabit.

"Tetapi ini semua merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran dan pengalamannya di peringkat antarabangsa. Jelas sekali dia akan kecewa tetapi dia akan bangkit semula. Dia telah menempuhi tiga atau empat tahun yang hebat.

"Bola sepak adalah mengenai bekerja keras dan saya yakin itulah yang akan dilakukannya."

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen