NORWAY 4 ROMANIA 0

Erling Haaland meneruskan kecemerlangannya merobek gawang lawan dengan merakamkan hatrik dalam kemenangan 4-0 Norway ke atas Romania, malah dia segera memuji rakan sepasukannya, Martin Odegaard, sambil memberi amaran bahawa masih banyak lagi yang akan ditawarkan daripada duo muda itu.


Pasukan kendalian Lars Lagerback itu bangkit daripada kekalahan play-off Euro 2020 kepada Serbia, minggu lalu, dengan mencipta kemenangan bergaya dalam kempen Liga Negara-Negara (UNL), awal pagi tadi, dengan Haaland memainkan watak penting.

Penyerang Borussia Dortmund itu telah meledak 17 jaringan dalam 18 penampilan Bundesliga dan kini mengumpul enam gol di pentas antarabangsa.

Dua gol yang dicetak tonggak berusia 20 tahun itu pada awal pagi tadi diilham oleh Odegaard yang tua setahun darinya, justeru Haaland ingin berkongsi pujian terhadapnya dengan pemain Real Madrid tersebut.



"Saya perlu memberi penghormatan kepadanya. Akhirnya dia sedar dan melorongkan bola kepada saya," selorohnya ketika mengganggu wawancara Odegaard bersama TV2, sambil menyarankan untuk berkongsi bola hatrik perlawanan itu.

"Ya, saya boleh mengeratnya kepada dua," tambah Haaland.

"Seronok beraksi di samping Odegaard. Ia akan bertambah baik pada tahun-tahun akan datang. Kami masih muda."

Odegaard mendedahkan ia satu peluang istimewa untuk bergandingan dengan Haaland yang bijak memulakan pecutan bagi memanfaatkan umpanannya.

"Kami sedar dia gemar meluru untuk mendapatkan bola," kata Odegaard.

"Setiap kali dia memecut dengan sempurna dan jarang sekali terperangkap ofsaid. Dia melakukannya dengan baik dan selalu sampai di sana terlebih dahulu."