UNL: Aksi sempurna Sepanyol palit aib buat Jerman 

Oleh Shaiful Shamsudin 18 November 2020 1528
 UNL: Aksi sempurna Sepanyol palit aib buat Jerman 
SEPANYOL 6 JERMAN 0 

Luis Enrique melabel Sepanyol memperagakan penampilan sempurna ketika mereka membelasah Jerman 6-0 untuk memastikan kemaraan dalam kempen Liga Negara-Negara (UNL) sambil menjelaskan Sergio Ramos nampaknya hanya mengalami kecederaan ringan.​


Ferran Torres mencetak hatrik sementara Alvaro Morata, Rodri dan Mikel Oyarzabal masing-masing turut menyumbangkan gol dalam aksi luar biasa awal pagi tadi, yang bermaksud Sepanyol menguasai tangga teratas Kumpulan A4 di depan lawan mereka itu.

Ia adalah kemenangan pertama Sepanyol dalam empat perlawanan selepas skuad bimbingan Enrique itu mencatatkan keputusan seri berturut-turut ketika menentang Switzerland dan Belanda selain kekalahan 0-1 kepada Ukraine.

Namun, mereka sememangnya berhak meraikan kemenangan bergaya di Seville memandangkan mendominasi dari awal hingga akhir permainan dengan melancarkan 23 percubaan berbanding hanya dua kali diancam pelawat termasuk memiliki 69.7 peratus penguasaan bola.

Jerman sama sekali gagal membuat sebarang percubaan tepat untuk La Roja muncul pasukan pertama sejak Perancis mengekang sebarang percubaan anak buah Joachim Low pada November 2015.

"Perlawanan berjalan dengan sempurna. Semua pemain amat serasi dan mendapat rentak," kata bekas pengurus Barcelona itu kepada wartawan.

"Jerman menurunkan pasukan terbaiknya dan saya fikir sejak awal-awal lagi kami tampil dengan sangat baik dan ini adalah salah satu daripada perlawanan terbaik serta paling lengkap kami.

"Dalam perlawanan terdahulu, kami juga unggul tetapi kami gagal meraih ganjarannya. Alangkah seronoknya dapat layak ke separuh akhir.


 


"Pemain-pemain ini mewakili Sepanyol dengan baik. Kami mempunyai sekumpulan 30 pemain yang menunjukkan prestasi yang sangat baik. Penyerang kami berkualiti tinggi dan saya berharap kami mempunyai pemain yang mampu menyumbat banyak gol, hari ini kami telah melihat beberapa pemain berkemampuan menyudahkan peluang terhidang."

Satu-satunya kekecewaan buat Sepanyol adalah kecederaan hamtring yang menimpa Sergio Canales dan Ramos.

Walaupun tidak dapat mengesahkan jangka waktu yang tepat mengenai kepulangan Ramos, Luis Enrique menawarkan harapan bahawa pemain pertahanan Real Madrid  itu tidak akan tersisih terlalu lama.

"Ia kecederaan ringan dan saya harap mereka hanya akan terpinggir dalam masa yang singkat," tambahnya.

"Inilah yang paling saya rasakan kerana saya pernah menjadi pengurus kelab dan saya meletakkan diri sendiri di tempat mereka."

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen