Ole Gunnar Solskjaer berkata pemain Manchester United bersedia dengan undian yang diterima apabila bakal berdepan Manchester City dalam separuh akhir Piala EFL selepas menewaskan Colchester United 3-0 awal pagi tadi.

Jaringan daripada Marcus Rashford dan Anthony Martial serta gol sendiri Ryan Jackson membolehkan The Red Devils mengetepikan cabaran lawan daripada divisyen dua itu di Old Trafford tetapi Solskjaer berpendapat pasukannya itu membiarkan tahap mereka menurun di sepanjang perlawanan.

Colchester mengikat Crystal Palace dan Tottenham Hotspur sebelum menewaskan kedua-dua pasukan itu menerusi penentuan sepakan penalti dalam pusingan sebelum ini dan Solskjaer lebih berpuas hati dengan persembahan anak buahnya ketika gagal meledakkan gol dalam babak pertama berbanding prestasi selepas rehat.

"Kami mendominasi, mencipta peluang tetapi anda tidak pasti sehingga meraih gol pertama," katanya.

"Mereka mencatat keputusan 0-0 ketika menentang Spurs dan Palace. Mereka bagus dan sukar dikalahkan. Kami mencipta peluang yang cukup dalam babak pertama untuk menamatkan saingan tetapi sekurang-kurangnya meledakkan gol dalam separuh masa kedua.

"Jika kami terus beraksi seperti babak pertama, saya akan gembira tetapi aksi separuh masa kedua lebih buruk.

"Kami mencipta lebih banyak peluang dalam babak pertama, mendominasi permainan, lebih tersusun. Separuh masa kedua, kami tidak membuat keputusan yang tepat tetapi mencipta jaringan."

United akan menentang City dalam dua aksi separuh akhir pada 6 dan 27 Januari depan.

Pengendali dari Norway itu jelas teruja dengan undian tersebut selepas menewaskan City 2-1 di Etihad, 7 Disember lalu.

"Anda sentiasa mahukan trofi dan menang dalam perlawanan. Kini, anda menerima undian yang menarik," tambahnya.

"Ia bakal jadi detik yang hebat. Saya tidak fikir ia sudah tertulis. Anda perlu bekerja keras, gunakan kesempatan yang ada dan pamerkan aksi terbaik.

"Kami sudah membuktikan sebelum ini bahawa kami boleh beraksi dengan bagus ketika menentang City dan pasukan besar yang lain."