Undian Liga Europa: United, Arsenal hadapi cabaran rumit

Oleh Penulis Jemputan 17 Disember 2019 3023
Undian Liga Europa: United, Arsenal hadapi cabaran rumit
Manchester United dan Arsenal berdepan cabaran rumit dalam undian pusingan 32 Liga Europa selepas diundi menentang Club Brugge dan Olympiacos sambil Inter Milan akan bertemu Ludogorets.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer, United, akan menentang wakil Belgium, Brugge, yang menduduki tempat ketiga dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah yang turut menampilkan Real Madrid dan Paris Saint-Germain (PSG).

Juara edisi 2016/17, United, muncul juara peringkat kumpulan selepas hanya tewas sekali sewaktu menurunkan barisan muda di Astana.

Arsenal mungkin mengharapkan undian lebih mudah berbanding Olympiacos yang biasa dengan persekitaran utara London itu sewaktu menentang Tottenham Hotspur dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Inter tidak bernasib baik gagal ke pusingan 16 Liga Juara-Juara selepas gagal menyaingi Barcelona dan Borussia Dortmund tetapi skuad bimbingan Antonio Conte itu dilihat berpeluang cerah selepas diundi bertemu wakil Bulgaria, Ludogorets.



Pasukan paling unggul dalam kejohanan sejak era Piala UEFA sehingga Liga Europa selepas lima kali bergelar juara, Sevilla, perlu melepasi cabaran Cluj untuk ke pusingan 16.

Dua wakil Scotland, Celtic dan Rangers, akan berdepan Copenhagen dan Braga sambil kelab Liga Perdana Inggeris, Wolverhampton Wanderers, bakal melakukan perhitungan dengan pasukan yang bergelut dalam LaLiga, Espanyol.

Semi finalis Liga Juara-Juara musim lalu, Ajax, juga akan berdepan wakil Sepanyol, Getafe, sambil AS Roma, yang mara ke separuh akhir di pentas paling elit Eropah pada musim 2017/18, akan bertemu Gent.

Bayer Leverkusen akan bertemu pemenang dua kali, Porto, sambil dua pasukan yang tersingkir daripada Liga Juara-Juara, Shaktar Donetsk dan Benfica, akan bertemu sesama sendiri.

Selepas aksi memukau sewaktu menentang Liverpool dan Napoli, Salzburg akan berdepan cabaran Eintracht Frankfurt.

Aksi pertama akan diadakan pada 20 Februari depan sebelum aksi timbal balik dijalankan seminggu kemudian.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen