Juara bertahan, Portugal, akan berdepan pemenang Piala Dunia, Perancis, serta pasukan paling unggul 2014, Jerman, dalam Kumpulan F, Euro 2020.

Undian di Bucharest semalam menyaksikan Fernando Santos dan pasukan bimbingannya yang diketuai Cristiano Ronaldo itu menentang dua juara Piala Dunia dalam laluan mengungguli Euro 2016.

Ia bermakna Les Bleus bimbingan Didier Deschamps itu berpeluang untuk membalas dendam selepas Portugal menewaskan mereka di Stade de France untuk menjulang trofi terunggul Eropah itu.

Satu lagi pasukan yang bakal mengisi slot Kumpulan F bakal ditentukan menerusi saingan play-off Laluan A antara Iceland, Bulgaria atau Hungary.

Namun, jika Romania mengungguli saingan Laluan A, mereka akan menyertai Belanda, Ukraine dan Austria dalam Kumpulan C.

Dalam format yang turut menerima kritikan ramai itu, salah satu daripada Georgia, Belarus, Macedonia Utara atau Kosovo dalam Laluan B akan menyertai Kumpulan F jika Romania layak. Jika tidak, pemenang Laluan B akan masuk ke dalam Kumpulan C.

Itali akan melakukan sepak mula kejohanan yang bakal diadakan di 12 bandar selaku tuan rumah tatkala mereka melayan kunjungan Turki di Rome pada 12 Jun bagi saingan Kumpulan A yang juga terdiri daripada Wales dan Switzerland.

England dan Croatia akan kembali bertemu di Wembley bagi saingan Kumpulan D setelah skuad kendalian Gareth Southgate itu dikecewakan oleh gol kemenangan Mario Mandzukic dalam separuh akhir Russia 2018 sebelum turut mara ke separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA.

Terdapat kemungkinan pertemuan melibatkan kesemua wakil Great Britain jika Scotland dapat mengatasi Israel, Norway dan Serbia dalam saingan play-off tatkala Republik Czech akan bertemu England sekali lagi dalam pusingan akhir setelah saling meraih kemenangan dengan The Three Lions sewaktu saingan kelayakan.

Kumpulan B merupakan kelompok kedua yang tidak menunggu wakil play-off setelah pasukan yang menduduki tempat pertama kedudukan FIFA, Belgium, diundi bersama Denmark, Finland dan Russia.

Sepanyol menyasarkan untuk menjulang trofi Euro buat kali ketiga dalam empat percubaan selepas bergelar juara dalam edisi 2008 dan 2012.

Mereka diundi dalam Kumpulan C, di mana pemenang play-off yang melibatkan Bosnia-Herzegovina, Northern Ireland, Slovakia dan Republik Ireland akan menyertai Sweden dan Poland.

Saingan play-off Euro 2020 akan dijalankan ketika tempoh rehat antarabangsa Mac depan.