Unai Emery menegaskan Arsenal tetap menjadi pilihan untuk mara ke final Liga Europa tatkala dia akan kembali ke Stadium Emirates bersama Villarreal.

Kelab Sepanyol itu meraih bekalan 2-1 ke atas bekas majikannya itu dalam perlawanan separuh akhir kedua Liga Europa, awal pagi esok.

Manu Trigueros dan Raul Albiol memberikan Villarreal kelebihan dua gol dalam perhitungan sulung minggu lalu sementara kelab London itu gagal meneruskan rentak sebaik Dani Ceballos dikeluarkan.

Begitupun, penalti kontroversi yang dimenangi oleh Bukayo Saka dan disempurnakan oleh Nicolas Pepe itu memastikan perjuangan di tempat lawan tidak sia-sia.

Villarreal lolos dalam 15 daripada 16 perlawanan kalah mati kejohanan utama Eropah itu apabila memenangi pertemuan pertama.




Begitupun, satu-satunya pengecualian itu dijelmakan oleh satu lagi wakil Inggeris, Liverpool, dan kempen sama pada 2016, lantas Emery berasakan Arsenal merupakan sebuah pasukan yang diangkat sebagai pilihan.

"Keputusan perlawanan pertama ini tidak mengubah pendapat awal saya terhadap kejohanan ini," kata pengurus itu dalam sidang akhbar sebelum perlawanan.

"Arsenal bermula sebagai pilihan dan mereka kekal begitu untuk melepasi peringkat ini. Hasil pertemuan pertama terlalu tipis untuk membuat perbezaan besar.

"Kami harus berusaha bersaing dengan pasukan seperti ini.

"Ketika saya menganalisis lawan kami, perkara pertama yang saya lakukan adalah mempelajari dan berusaha membuat persiapan bagi menentang mereka dengan sebaik mungkin.

"Arsenal mantap daripada segi struktur permainan, mereka mampu menguasai bola, bergabung dengan baik dan memiliki pemain yang pantas dan teknikal berbakat.

"Kami akan mengawasi Pierre-Emerick Aubameyang, jadi kami akan menghadapi pasukan terbaik Arsenal, baik secara kolektif mahupun individu."




Gerard Moreno mampu menghadirkan ancaman sepanjang tujuh kali disenaraikan dalam barisan utama Liga Europa musim ini (enam gol dan tiga bantuan jaringan).

Arsenal, yang bergantung kepada Liga Europa untuk menyelamatkan kempen mereka, sedar slot ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan mampu menjadi perangsang buat mereka memenangi kejohanan ini.

Mereka tetap maju dalam dua kempen kalah mati terakhir Eropah sungguhpun tumpas dalam perlawanan pertama.

Arsenal pula belum pernah gagal ke sebarang saingan Eropah sejak 1995-96, sehubungan itu Mikel Arteta sedar betapa pentingnya perhitungan awal pagi esok.

Walaupun dia menganggap pasukannya sebagai 'underdog', Emery mahu menggariskan kepentingan pencapaian mereka ini.

"Ini adalah saat yang sangat indah bagi kami," katanya.

"Kami telah berusaha keras sepanjang tahun ini untuk berusaha membangunkan keyakinan, keputusan dan objektif kami, malah kami melakukan dengan baik untuk mara sejauh ini dalam Liga Europa.

"Kami akan mendekati permainan ini dengan cara yang sama seperti yang kami lakukan dalam aksi pertama.

"Kami akan meningkatkan prestasi kami sepanjang 90 minit. Kami mendahului 2-1 tetapi itu tidak bermakna apa-apa. Kami akan berusaha dan bersedia untuk menghadapi apa sahaja yang akan terjadi."

Arsenal hanya pernah tewas sekali dalam 11 perlawanan kalah mati ketika berdepan seteru dari Sepanyol di tempat sendiri, iaitu kekalahan kepada Barcelona di peringkat 16 UCL pada Februari 2016.