UEL: Kesukaran Milan satu batu loncatan penting -- Pioli

Oleh Muzaffar Musa 26 Februari 2021 100
UEL: Kesukaran Milan satu batu loncatan penting -- Pioli
Stefano Pioli memuji "mentaliti matang" AC Milan sambil mengakui pasukannya sedang melalui waktu sukar daripada segi prestasi.

Milan bergelut untuk ke pusingan 16 Liga Europa (UEL)  selepas terikat 1-1 dengan Red Star Belgrade awal pagi tadi tetapi keputusan itu sudah cukup untuk memastikan kemaraan mereka menerusi agregat 3-3 dan peraturan gol di laman lawan.

Gol sepakan penalti Frank Kessie -- jaringan penalti ketujuhnya dalam kesemua kejohanan musim ini -- menyaksikan Milan meneruskan kemaraan dan jaringan penyamaan El Fardou Ben buat Red Star menjadi sia-sia.

Gianluigi Donnarumma menandakan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-22 dengan aksi menyelamat gemilang bagi menafikan jaringan kedua Red Star, yang kehilangan seorang pemain selepas Marko Gobeljic dibuang padang.

Ia merupakan kali pertama sejak musim 2006-07 Milan melepasi pusingan timbal balik peringkat Eropah selepas tidak memenangi perlawanan pertama, di mana ketika itu Carlo Ancelotti membimbing skuad Rossoneri berkenaan menjulang Piala Eropah ketujuh.

Bagaimanapun, Milan kini gagal mencatatkan kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut, tewas dalam dua perlawanan terakhir Serie A, termasuk kekalahan 0-3 kepada seteru setempat dan pencabar kejuaraan, Inter Milan.

Pioli, dalam pada itu, tetap yakin dengan kemampuan pasukannya untuk kembali menemui prestasi terbaik dan belajar daripada kesilapan yang mereka lakukan.

"Pasukan ini mungkin masih muda tetapi memiliki mentaliti yang matang," katanya kepada Sky Italia.

"Amat jelas, kami tidak berada di pretasi terbaik. Setiap kemenangan memberikan kami tenaga dan keyakinan, jadi elemen itu sudah berkurangan sedikit.

"Malangnya, kami tidak dapat mengawal situasi itu dengan lebih baik, dengan lebih ketepatan dalam hantaran dan pilihan kami tetapi perkara terpenting adalah kami layak.
 
"Di tahap ini, ia tentang perincian dan jurang paling kecil boleh menjadi perbezaan.

"Jika kami fikirkan mengenai musim ini, ia masih dipenuhi dengan perkara positif. Musim kami tidak tamat di sini, memenangi Liga Europa akan memberikan anda tempat dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

"Kami melakukan lebih banyak kesilapan dan tidak ampuh seperti dulu tetapi ia merupakan satu batu loncatan yang amat penting dan ia sesuatu yang getir untuk kami melepasi pusingan ini," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen