Pemain gantian, Paul Pogba, menandakan kepulangan semulanya dengan menjaringkan gol tunggal ketika Manchester United menewaskan AC Milan 1-0 untuk mara ke suku akhir Liga Europa (UEL) awal pagi tadi.

Pogba tidak beraksi sepanjang 10 perlawanan lalu berikutan kecederaan yang dialaminya ketika United terikat 3-3 dengan Everton awal Februari lalu tetapi dia tidak memerlukan masa yang lama untuk mencipta impak dalam perlawanan kedua pusingan 16 itu.

Susulan menggantikan Marcus Rashford selepas waktu rehat, pemain kebangsaan Perancis itu bijak memanfaatkan peluang pada minit ke-48 untuk pasukannya memenangi penentuan itu dengan kelebihan agregat 2-1.

Zlatan Ibrahimovic -- yang turut berperanan sebagai pemain gantian selepas pulih daripada kecederaan -- tidak mampu membantu Milan memberikan respons dan bermakna, pasukan Serie A itu kini gagal memenangi lima perlawanan berturut-turut di laman sendiri.

United terdahulu merekodkan kemenangan 4-0 di Itali tetapi mereka ketika itu menewaskan pasukan Sepanyol, Real Sociedad, selepas perlawanan itu dipindahkan ke Turin berikutan sekatan perjalanan disebabkan pandemik koronavirus.

Mereka memulakan pertemuan di Milan kali ini dengan baik tetapi pasukan tuan rumah memperoleh peluang keemasan pada penghujung babak pertama. Alexis Saelemaekers menguji penjaga gawang United, Dean Henderson, dari jarak jauh manakala Rade Krunic melakukan sepakan voli yang sedikit tersasar sebelum waktu rehat.

Pasukan tuan rumah itu -- sama seperti perlawanan pertama di Old Traffford -- kelihatan menguasai permainan dalam tempoh yang panjang tetapi Pogba menghukum kelalaian Milan gagal mengeluarkan bola susulan percubaan terbias Daniel James untuk menewaskan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma, dari sudut sukar.

Henderson muncul penyelamat United ketika menafikan percubaan Ibrahimovic dan Pogba hampir menggandakan jaringannya tetapi tandukannya sekadar melewati palang gol dan satu gol yang dijaringkannya itu sudah cukup untuk menjamin kemaraan The Red Devils ke suku akhir.