Paris Saint-Germain menerima suntikan semangat menjelang perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Atalanta apabila Tomas Tuchel mengesahkan bahawa Kylian Mbappe sedang disediakan untuk menghadapi perlawanan itu.

Mbappe dijangka akan terlepas perlawanan berkenaan selepas mengalami kecederaan ligamen pergelangan kaki dalam final Coupe de France, di mana PSG menewaskan Saint-Etienne pada 24 Julai lalu.

Pemenang Piala Dunia itu dijangka akan direhatkan selama tiga minggu tetapi Tuchel mendedahkan bahawa dia dapat diturunkan dalam perlawanan di Estadio da Luz awal pagi esok seandainya dapat menjalani latihan tanpa sebarang masalah.

Bagaimanapun, jurulatih PSG itu memberi bayangan bahawa Mbappe hanya akan diturunkan sebagai pemain gantian.

"Jika Mbappe dapat menjalani latihan hari ini tanpa sebarang masalah, dia akan bermain esok," kata Tuchel dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Kami amat gembira dia ada bersama pasukan ini dan kami berpeluang untuk menamatkan perlawanan itu dengannya."

Marco Verratti tidak dapat diturunkan ketika menentang Atalanta kerana mengalami kecederaan betis.

Pemain tengah itu tidak menyertai kem latihan di Faro dan Tuchel berasakan amat sukar untuk dia diturunkan seandainya PSG mara ke separuh akhir.

"Untuk Marco pula, peluangnya amat tipis untuk beraksi dalam separuh akhir.

"Amat malang buatnya. Dia akan berusaha untuk segera pulih dan kami akan mencuba (untuk memastikan dia cergas)," tambahnya.