UCL: Messi, Ronaldo bertemu di peringkat kumpulan

Oleh Muzaffar Musa 2 Oktober 2020 1810
UCL: Messi, Ronaldo bertemu di peringkat kumpulan
Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo akan beradu kehebatan dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020-21 selepas Barcelona dan Juventus diundi dalam kumpulan yang sama.

Pasukan gergasi LaLiga, Barca, dan juara Serie A, Juve, diundi bersama Dynamo Kiev dan Ferencvaros dalam Kumpulan G menerusi satu majlis undian awal pagi tadi.

Messi dan Ronaldo pernah bertemu sebanyak lima kali dalam UCL, di mana dua daripadanya dimenangi Messi manakala dua lagi berakhir seri. Ketika Ronaldo turut meraih satu kemenangan, dia gagal menjaringkan sebarang gol dalam pertemuan terakhir mereka.

Bayern Munich, yang menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 1-0 untuk dinobatkan sebagai juara Eropah buat kali keenam di Lisbon Ogos lalu, akan menghadapi saingan Atletico Madrid dalam Kumpulan A.

PSG pula diundi bersama Manchester United, RB Leipzig dan Istanbul Basaksehir dalam kelompok yang dilihat paling sukar, iaitu Kumpulan H.

Sementara itu, Liverpool -- yang merupakan juara edisi 2019 -- akan mencongak perhitungan dengan Ajax, Atalanta dan Midtjylland dalam Kumpulan D.
 
Real Madrid diletakkan di dalam Kumpulan B bersama Shakhtar Donetsk, Inter Milan dan Borussia Monchengladbach manakala juara Liga Europa, Sevilla, berada sekumpulan bersama Chelsea, Krasnodar dan Rennes dalam Kumpulan E.

Kumpulan C pula dibarisi oleh skuad kendalian Pep Guardiola, Manchester City, selain Porto, Olympiacos dan Marseille sementara Zenit, Borussia Dortmund, Lazio dan Club Brugge berada dalam Kumpulan F.

Final edisi kali ini akan berlangsung di Stadium Olimpik Ataturk, Istanbul pada 29 Mei 2021.
 

Undian peringkat kumpulan UCL:
Kumpulan A: Bayern Munich, Atletico Madrid, Salzburg, Lokomotiv Moscow 
Kumpulan B: Real Madrid,  Shakhtar Donetsk, Inter Milan, Borussia Monchengladbach 
Kumpulan C: Porto, Manchester City, Olympiacos, Marseille 
Kumpulan D: Liverpool, Ajax, Atalanta, Midtjylland 
Kumpulan E: Sevilla, Chelsea, Krasnodar, Rennes 
Kumpulan F: Zenit, Borussia Dortmund, Lazio, Club Brugge 
Kumpulan G: Juventus, Barcelona, Dynamo Kiev, Ferencvaros 
Kumpulan H: Paris Saint-Germain, Manchester United, RB Leipzig, Istanbul Basaksehir

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen