N'Golo Kante tersenarai dalam skuad Chelsea menjelang aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) menentang Bayern Munich, awal pagi esok.

Pemain tengah itu tidak beraksi sejak 4 Julai lalu akibat kecederaan hamstring tetapi sudah kelihatan di bangku simpanan dalam perlawanan akhir Piala FA hujung minggu lalu dan mula berlatih di Cobham bersama rakan sepasukannya semalam.

Pengurus, Frank Lampard, sebaliknya menghadapi masalah pemilihan ketika The Blues berusaha untuk memadamkan kelebihan 3-0 milik juara Bundesliga itu.



Cesar Azpilicueta, Christian Pulisic dan Pedro terpinggir akibat kecederaan yang dialami ketika mereka tewas 1-2 kepada Arsenal dalam final Piala FA.

Jorginho dan Marcos Alonso pula digantung sementara tidak ada tempat buat Willian, yang hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal.

Billy Gilmour pula tersisih untuk jangka masa panjang selepas menjalani pembedahan lutut bulan lalu.

Lampard kemudian menamakan beberapa pemain muda yang belum pernah diuji dalam skuad 23 pemain termasuk Jamie Cumming, Lewis Bate, Dynel Simeu, Henry Lawrence, Ian Maatsen dan Armando Broja.