Penggempur, Gabriel Jesus, bercita-cita untuk cuba mengikut jejak pemain handalan Brazil yang lain selepas memastikan tempat Manchester City ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Jesus memberikan satu persembahan bertenaga ketika skuad kendalian Pep Guardiola itu menewaskan Real Madrid 2-1 di Stadium Etihad, awal pagi tadi, untuk merakam kemaraan dengan agregat 4-2 untuk misi di Lisbon, Portugal, minggu depan.

Bermula di sebelah kiri jentera serangan City, Jesus membuat Raphael Varane melakukan kesilapan awal sekali gus membenarkan jaringan Raheem Sterling untuk gol pembukaan.

Karim Benzema menyamakan kedudukan untuk memastikan segalanya berjalan lancar buat pelawat pada waktu rehat sebelum Jesus memainkan peranan sebagai penyerang tengah sejurus permainan bersambung.

Dia kembali mencetuskan masalah buat Varane untuk menyudahkan peluang yang terhidang itu pada minit ke-68.

"Saya berusaha untuk menjadi penyerang yang hebat, anda tahu tentang itu," katanya kepada BT Sport.

"Saya bekerja keras pada setiap hari untuk menjadi penyerang seperti Ronaldo.

"Saya tahu kualitinya berbeza dengan saya untuk menjadi penyerang yang hebat."

Malah, kemampuan bekas penyerang Palmeiras itu untuk menyesuaikan diri cukup penting buat Guardiola sepanjang perlawanan berkenaan yang menyaksikan pemain berusia 23 tahun tersebut tidak keberatan untuk beralih ke bahagian kiri serangan ketika di Santiago Bernabeu sebelum ditempatkan ke pusat serangan.


"Ini seperti perlawanan akhir, kami banyak berlari, kami mengawal bola dengan baik dan menjaringkan gol," katanya.

"Adalah sangat penting untuk kami menentang kelab seperti Real Madrid, kelab terbaik dalam pertandingan ini. Bagi kami, ia satu pencapaian yang sangat besar.

"Saya rasa ini semua mengenai kepercayaan bahawa pihak lawan boleh melakukan kesilapan. Saya kerap memberikan tekanan pihak lawan tekanan demi pasukan saya. Saya gembira."

Lyon pula melengkapkan kejayaan mengejutkan ke atas Juventus menerusi peraturan jaringan di tempat lawan dan walaupun tewas 1-2 di Turin awal pagi tadi, mereka akan tetap menempah pertemuan dengan City.

Begitupun, Jesus menolak cadangan bahawa menyingkirkan skuad kendalian Zinedine Zidane itu di peringkat kalah mati pertama UCL sebagai satu amaran kepada seteru mereka di Eropah.

"Tidak, saya tidak berfikir seperti itu," tambahnya.

"Kami perlu terus berusaha, melakukan perkara-perkara sederhana dan kekal ampuh untuk perlawanan seterusnya."