Tumpuan melampau terhadap Neymar sambil rakan sepasukannya mempamerkan peningkatan prestasi merupakan sesuatu yang buruk, kata Penolong Pengarah Sukan, Paris Saint-Germain (PSG), Maxwell.

Neymar membantu PSG memenangi kesemua 10 perlawanan pembukaan Ligue 1 yang menyaksikan pasukan kendalian Thomas Tuchel itu di landasan tepat untuk musim yang lebih dominan dalam kancah domestik.

Bagaimanapun, spekulasi di luar padang terus menghantui masa depan Neymar, dengan Real Madrid dan Barcelona dilaporkan berminat untuk memburu bintang Brazil itu.

Namun, Maxwell berasakan pemain PSG yang lain juga berhak berkongsi perhatian yang terarah kepada Neymar.

"Saya berasakan dengan memberi tumpuan dan bercakap mengenai seorang pemain sahaja adalah perkara yang sangat buruk dalam bola sepak," kata Maxwell kepada Omnisport sempena Majlis Jelajah Trofi NISSAN Liga Juara-Juara UEFA (UCL) di Paris, semalam.

"Pasukan ini sedang mengharungi kempen dengan baik, ada banyak perkara yang baik untuk diperkatakan tentang skuad, jurulatih, pengurusan. Memberi tumpuan kepada hanya seorang pemain adalah sesuatu yang tidak perlu anda lakukan.

"Saya tidak menggemarinya, saya fikir ada banyak lagi aspek positif yang boleh kita bincangkan. Kita sentiasa memberi tumpuan kepada perkara-perkara negatif yang tidak perlu."

Sementara itu, Barcelona kembali dikaitkan dengan Neymar. Penggempur itu berkunjung ke ibu kota Sepanyol pada hujung minggu lalu apabila dilaporkan meluangkan masa di samping bekas tonggak Barca dan Brazil, Arthur, sehingga menimbulkan spekulasi.

"Neymar pergi dan dia tidak akan kembali," kata Presiden, Josep Maria Bartomeu, kepada Catalunya Radio. "Tiada perancangan untuk mengikatnya semula.

"Saya tidak menerima sebarang panggilan daripada wakil Neymar ataupun dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat. Dia memutuskan masa depannya sendiri, dia membayar klausa pembebasannya dan pergi ke PSG.

"Kami tidak gembira dengan caranya berpindah. Apabila pemain datang ke Barca, ia adalah disebabkan semua orang mahukannya, keputusan tidak terletak kepada saya, ia membabitkan semua orang."

Pengurus Barca, Ernesto Valverde, menganggap Neymar "tidak mungkin" kembali dipancing, namun bersikap terbuka dengan menyatakan: "Apa pun boleh berlaku dalam bola sepak."