Tugas pengendali Barcelona satu kemungkinan -- Koeman

Oleh Staff Writer 14 November 2019 309
Tugas pengendali Barcelona satu kemungkinan -- Koeman
Ronald Koeman mendakwa terdapat kemungkinan dia bakal mengendalikan Barcelona tetapi bukan sebelum memastikan Belanda mara ke pusingan akhir Euro 2020.

Dia menghabiskan tempoh enam tahun di Barca selaku pemain sebelum bertindak sebagai pembantu kepada Louis Van Gaal dari tahun 1998 sehingga 2000 dan kini dikaitkan untuk kembali ke gergasi LaLiga itu susulan pencapaian cemerlang bersama skuad kebangsaan Belanda.

Koeman mula mengendalikan The Oranje tahun lalu selepas mereka terlepas tiket Piala Dunia 2018 tetapi dia pantas memberikan impak kepada pasukan bimbingannya itu dengan mengemudi Belanda ke final Liga Negara-Negara Eropah dan berada di landasan terbaik untuk mara ke Euro 2020.

Baru-baru ini, Koeman disahkan mempunyai klausa dalam kontrak yang membolehkannya meninggalkan Belanda untuk ke Camp Nou jika situasi itu timbul selepas Euro dan melihat tekanan yang sedang dihadapi Ernesto Valverde, perubahan mungkin berlaku tahun depan.

Bagaimanapun, bekas pengendali Everton itu menegaskan dia tidak akan meninggalkan Belanda sebelum Euro 2020.

"Menyertai Barcelona adalah satu kemungkinan tetapi hanya selepas Euro 2020," katanya.

"Saya tidak tahu sama ada akan terus bercakap tentangnya di masa depan kerana agak janggal untuk berbincang mengenai perpindahan ketika anda merupakan pengurus Belanda.

"Tiada tempat lain yang boleh saya sertai jika meninggalkan Belanda selain Barca."

Belanda berdepan dua baki aksi kelayakan Euro 2020 menentang Ireland Utara dan Estonia. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen