Prestasi Mauro Icardi kebelakangan ini tidak menjadi kerisauan Thomas Tuchel yang juga tidak bimbang dengan beberapa pemain yang menghampiri penghujung kontrak.

Penyerang Argentina, Icardi, menyertai Paris Saint-Germain (PSG) secara pinjaman pada awal musim ini dan memberikan impak pantas, sekali gus menggantikan tempat Edinson Cavani selaku penggempur utama.

Dia menjaringkan sembilan gol di pentas Ligue 1 sebelum pertengahan musim tetapi dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Icardi tampak tumpul di depan gawang.

Biarpun meledakkan gol ketika menentang Nantes, Selasa lalu, dia gagal mencipta jaringan dalam enam aksi sebelum itu dalam semua kejohanan walaupun dua daripada perlawanan itu melibatkan pasukan bawahan, Lorient dan Pau.

Namun, pengurus PSG, Tuchel, kekal optimis penyerangnya itu akan menemui semula sentuhan tetapi memberi bayangan situasi itu bakal memberi kelebihan buat Cavani, penggempur yang dihalang daripada meninggalkan PSG dalam jendela perpindahan musim lalu.

"Saya harap Icardi akan menemui semula sentuhan, keyakinan dan akan menjaringkan gol semula," katanya.

"Namun, dia tetap pemain penting dan kami juga melihat Cavani semakin meningkat."

Thomas Meunier dan Thiago Silva telah beraksi dalam 34 aksi Ligue 1 musim ini sehingga membuatkan Tuchel melihat kedua-dua pemain itu sebagai kunci utama di barisan bawah.

Kedua-dua pemain itu memiliki kontrak yang bakal tamat Jun nanti sambil Tuchel menegaskan proses memperbaharui kontrak adalah di luar bidang kuasanya.

"Saya fikir pemain lebih yakin dan kuat," tambahnya.

"Silva adalah kapten saya, tiada apa yang berubah dan saya masih menjadi diri sendiri.

"Saya melihat mereka sebagai pemain profesional. Meunier banyak beraksi, menjadi sangat penting buat kami. Kedua-dua pemain itu sangat hebat dan saya berbesar hati mereka hadir ke sini. Saya tidak fikir isu kontrak akan mengganggu pemain.

"Silva adalah kapten saya. Meunier beraksi di bahagian kanan ketika ini kerana dia membuktikan kemampuannya."




Editor: Nafis Abdullah