Thomas Tuchel mendedahkan dia teruja selepas Paris Saint-Germain (PSG) diundi menentang Saint-Etienne dalam suku akhir Piala Liga Perancis.

Awal pagi tadi, PSG menewaskan pasukan divisyen dua, Le Mans, 4-1 dalam pusingan 16 di MM Arena untuk mencatat kemenangan kesembilan berturut-turut dalam semua kejohanan.

Juara Ligue 1 itu membelasah Saint-Etienne dalam aksi liga minggu lalu dan pengendali, Tuchel, tiada masalah untuk bertemu pasukan kendalian Claude Puel itu dalam saingan piala domestik.

"Ia undian baik kerana perlawanan akan diadakan di laman sendiri," katanya.

"Bagus kerana kami tidak perlu keluar. Perkara utama adalah beraksi di depan penyokong sendiri, di mana ia lebih mudah untuk diuruskan dan senang buat pemain.

"Kami berdepan banyak jadual di luar Paris pada Januari dan Februari depan, jadi bagus untuk bermain di tempat sendiri."

Pablo Sarabia, Eric Maxim Choupo-Moting dan Kylian Mbappe memberikan PSG pendahuluan 3-0 sebelum rehat ketika menentang Le Mans yang cuba merapatkan jurang menerusi Harrison Manzala pada awal separuh masa kedua.

Angel Di Maria mengesahkan kemenangan pasukannya untuk melangkah ke suku akhir menerusi rembatan jarak jauh tetapi Tuchel berpendapat PSG patut menambah jumlah gol.

"Kami menurunkan pemain yang kurang sentuhan dalam rentak permainan, jadi saya tidak meletakkan harapan tinggi," katanya.

"Kami mampu hasilkan lima atau enam gol tetapi hilang rentak dalam babak kedua.

"Kini kami melangkah ke suku akhir tanpa sebarang kecederaan dan itu sudah pasti bagus."