Jurulatih Borussia Dortmund, Thomas Tuchel, mengatakan dia memikirkan Pierre-Emerick Aubameyang mungkin mensia-siakan peluang untuk mengatur jaringan penyamaan dramatik oleh Marco Reus di Real Madrid, namum lega tanggapannya itu silap.

Dortmund bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk memastikan keputusan seri 2-2 yang cukup dramatik di Santiago Bernabeu awal pagi tadi dan meletakkan mereka selaku juara Kumpulan F, Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Aubameyang memberikan Dortmund harapan di sebalik dua jaringan Karim Benzema, dengan pemain kebangsan Gabon itu menjadi perancang jaringan Reus dua minit sebelum masa perlawanan sebenar tamat.

"Untuk gol penentuan, ia nampak seperti Aubameyang akan menerima hantaran agak lambat," jelas Tuchel selepas tamat perlawanan.

"Tetapi kami bernasib baik kerana ia tidak berlaku dan Rues berjaya mendapatkan bola tersebut dan menjaringkannya.

"Dortmund beraksi dengan cemerlang tetapi ia satu perlawanan yang mendebarkan juga.

"Kami bermula dengan baik tetapi melakukan banyak kesilapan yang tidak sepatutnya. Kami juga telah membuat beberapa keputusan yang silap.

"Tetapi ia penyudahan yang amat menggembirakan dan ia yang terbaik untuk kami."

Selaku juara kumpulan, Dortmund kemungkinan akan berhadapan Paris Saint-Germain atau Manchester City dalam peringkat kalah mati. Selain itu, Benfica, Porto dan Sevilla juga mungkin lawan yang akan menanti mereka.