Thomas Tuchel mengesahkan Antonio Rudiger dan Kepa Arrizabalaga terlibat dalam perbalahan selepas tewas mengejutkan 2-5 kepada West Brom, Sabtu lalu -- satu perlawanan yang diakui masih belum dapat dihadam pengurus Chelsea itu.

The Blues menempa kekalahan memalukan kepada pasukan kedua tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dan dibolosi lima gol liga di tempat sendiri buat pertama kalinya sejak Oktober 2011.

Malah, ini kali pertama dalam tempoh sembilan tahun West Brom merakamkan lima gol dalam satu perlawanan.

Layangan kad merah ke atas Thiago Silva ketika Chelsea unggul 1-0 dianggap sebagai titik tolak perlawanan itu apabila Matheus Pereira mencetak gol berganda sebelum rehat dan Callum Robinson mengulangi prestasi itu dalam separuh masa kedua.

Mbaye Diagne kemudian menokok satu jaringan lagi buat Baggies sebelum Mason Mount menyumbat gol sagu hati buat tuan rumah.



Sekiranya kekalahan itu tidak cukup buruk, laporan pada hari berikutnya mendedahkan bahawa Rudiger dan Kepa telah terlibat dengan percakaran dalam sesi latihan.

Walaupun kelab London itu tidak mengulas masalah itu berkenaan secara terbuka, Tuchel terbuka untuk membincangkan situasi tersebut dalam sidang akhbar semalam apabila bertandang ke ke Porto untuk pertemuan pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL).

"Ia tidak [serius]. Ia melibatkan satu kejadian dalam latihan dan keadaan menjadi tegang di antara Toni dan Kepa," katanya.

"Kami menenangkan keadaan dengan segera. Saya tidak mahu berpura-pura. Kami tidak mahu menerima (insiden sebegitu) tetapi ia boleh berlaku kerana semua orang kompetitif ketika berlatih.

"Reaksi Toni dan Kepa terhadapnya sangat mengagumkan. Mereka menunjukkan betapa mereka saling menghormati. Mereka menjernihkan suasana dan tiada yang menyimpan perasan keesokannya.

"Kami bercakap mengenai masalah terbabit, kemudian ia diselesaikan. Itu perkara paling utama. Ini boleh berlalu dan bukan perkara yang janggal. Mereka menyelesaikannya sebaik habis berlatih dengan cara yang jujur ​​dan rendah hati. Itu menunjukkan bahawa mereka mempunyai karakter yang baik."

Tuchel mengesahkan Rudiger akan dipertaruhkan ketika bertemu wakil Portugis itu, namun tidak senang dengan berita dalaman seumpamanya tersebar.

"Ia dibocorkan. Saya sudah terbiasa pada zaman moden ini. Terlalu banyak saluran dan cara sesuatu maklumat itu boleh diperoleh.

"Saya mendapat tahu sebahagian daripada perbincangan saya juga didedahkan. Ini tidak bagus tetapi saya tidak mahu memberi fokus kepada pembocor maklumat itu. Saya tidak mahu kehilangan kepercayaan terhadap kumpulan pemain ini, jadi saya akur. "