PSG 1 CLUB BRUGGE 0

Thomas Tuchel mendedahkan kerisauannya terhadap penyerang yang sedang berada dalam prestasi terbaik, Mauro Icardi, yang terpaksa dibawa keluar dalam babak kedua sewaktu Paris Saint-Germain (PSG) menang 1-0 ke atas Club Brugge, awal pagi tadi.


Icardi menjaringkan gol tunggal perlawanan tatkala PSG mengesahkan slot ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah walaupun mereka semestinya bersyukur memiliki Keylor Navas selaku penjaga gol yang menyelamatkan sepakan penalti lawan di penghujung perlawanan.

Namun, pemain yang dipinjam daripada Inter Milan, Icardi, berdepan dengan masalah sehingga terpaksa memberi laluan buat Edinson Cavani dan Tuchel mengumumkan perkara itu selepas perlawanan.

Menurut pengurus itu, Icardi tidak menunjukkan sebarang tanda tidak selesa tetapi beraksi dalam kesakitan dalam sesetengah situasi.

"Perancangan asal adalah membawanya keluar selepas 65 atau 70 minit. Kemudian, Icardi mengalami kecederaan dan Cavani terpaksa dibawa masuk," katanya.

"Icardi sedang menjalani rawatan. Saya sentiasa risau kerana kami mengalami banyak masalah itu. Dia berada dalam kesakitan tetapi sudah terbiasa beraksi sambil menahan sakit. Itu yang dilakukannya ketika menentang Real Madrid dan Galatasaray.

"Saya fikir dia masih kuat dan ia tidak begitu teruk."

Musim ini, PSG berdepan dengan kecederaan melibatkan Cavani dan Kylian Mbappe tatkala Neymar masih diketepikan. Namun, Icardi menyumbat lapan gol dalam sembilan aksi pertamanya buat kelab itu.

Walaupun juara Ligue 1 itu meneruskan kemaraan awal pagi tadi, prestasi keseluruhan pasukan agak membimbangkan sambil Brugge hampir mencuri satu mata selepas menampilkan persembahan berbeza berbanding ketika dibelasah 5-0 di Belgium.

Namun, Tuchel tidak begitu hiraukannya dan berkata: "Saya gembira. Saya tahu akan sentiasa sukar menentang Brugge.

"Mereka menampilkan gaya istimewa dalam penguasaan perlawanan. Sentiasa memegang bola. Anda perlu fokus dan tidak terlepas penguasaan. Saya sangat gembira."