Thomas Tuchel memberikan reaksi tidak senang terhadap pertanyaan mengenai masa depannya sebagai pengurus Paris Saint-Germain (PSG) tatkala dia mengelak daripada menempa kekalahan Ligue 1 ketiga berturut-turut.

Metz akan berdepan juara bertahan itu awal pagi esok selepas PSG tewas 0-1 kepada Lens dan Marseille.

Penularan COVID-19 dalam skuad bimbingannya itu menyaksikan mereka bergelut untuk bangkit sejak dikecewakan Bayern Munich dalam final Liga Juara-Juara (UCL) - juga tewas menerusi gol tunggal -- selain pertemuan 'Le Classique' menentang Marseille di Parc des Princes, kelmarin, yang berakhir dengan kekecohan.

Neymar, Leyvin Kurzawa dan Leandro Paredes diperintah keluar padang jadi mereka bakal terlepas kunjungan Metz ke ibu kota Perancis.



Tuchel telah menjuarai liga dalam dua musim pertama asuhannya yang menyaksikan PSG mencapai kemajuan pesat di pentas Eropah musim lalu.

Begitupun, dia sedar tidak dapat lari daripada khabar angin yang sentiasa berlegar dalam bidang itu.

"Ia sering terjadi seperti ini," katanya.

"Sekiranya seseorang itu kalah dalam perlawanan akhir, maka dia harus angkat kaki, begitu juga kalau tumpas kepada Dortmund.

"Jadi ini bukan satu perkara yang baru. Ini adalah sukan. Anda yang mencetuskan spekulasi, bukan saya. Saya tidak membaca apa yang ditulis mengenai masa depan saya, saya kekal tenang."

Tuchel mengesahkan Marquinhos akan menjadi pengganti jangka panjang kepada rakan senegara, Thiago Silva, untuk memainkan peranan sebagai kapten sambil menyifatkan keputusan melantik pemain antarabangsa Brazil itu sebagai logik.

Marquinhos kembali berlatih selepas muncul salah seorang pemain yang diuji positif COVID-19, sehubungan itu Tuchel mendedahkan anak buahnya itu sudah bersedia untuk menghadapi Metz.