Neymar berkemungkinan akan terlepas beberapa perlawanan bersama Paris Saint-Germain (PSG) selepas dikeluarkan dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Istanbul Basaksehir awal pagi tadi, kata Thomas Tuchel selepas perlawanan itu.

Pemain kebangsaan Brazil itu mengalami kesakitan di pinggul kirinya dan digantikan dengan Pablo Sarabia pada ke-26 perlawanan di Stadium Fatih Terim itu.

PSG akan melalui tiga perlawanan dalam tempoh 10 hari -- menentang Nantes dan Rennes dalam Ligue 1 di antara kunjungan ke laman RB Leipzig dalam Liga Juara-Juara -- sebelum waktu rehat antarabangsa.

Dan Tuchel bimbang sekiranya Neymar, yang menghasilkan dua gol dan tiga bantuan jaringan sepanjang enam penampilan musim ini, tidak dapat diturunkan dalam beberapa perlawanan itu.

"Dia perlu dikeluarkan," kata ketua jurulatih PSG itu kepada RMC Sport.

"Kami kini perlu menunggu keputusan ujian kecederaannya. Ia bukan kesakitan yang serius tetapi dia berasa tidak selesa.

"Disebabkan jadual yang padat, dia mungkin akan terlepas beberapa perlawanan tetapi saya masih belum pasti setakat ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai situasi itu, Tuchel berkata dalam sidang media: "Ia kecederaan otot adductor. Saya harap kecederaannya tidak terlalu serius. Kami perlu menunggu keputusan ujiannya esok."

Walaupun Neymar terpaksa dikeluarkan pada awal permainan, PSG masih mampu meraih kemenangan 2-0 hasil jaringan berganda Moise Kean dalam babak kedua, sekali gus bangkit daripada kekalahan kepada Manchester United dalam aksi pembukaan Kumpulan H minggu lalu.

Finalis musim lalu itu kelihatan bergelut dan Tuchel, yang berulang kali menangkis soalan mengenai masa depannya, mengakui pasukan itu memerlukan penambahbaikan.

"Kami menang -- itulah yang kami mahu lakukan. Kami sedar kami perlu memperbaikinya.

"Sesetengah perkara kelihatan baik buat kami dan sesetengahnya tidak. Kami beraksi setiap tiga hari, jadi kami mempunyai masa untuk memperbaikinya bagi beberapa perlawanan selepas ini.

"Kami tahu kami boleh beraksi lebih baik tetapi kami perlu menerima bahawa kami tidak boleh melakukannya sekarang.

"Ia menjadi lebih sukar tetapi saya mahu melindungi pemain saya kerana saya fikir mereka telah melakukannya dengan maksimum.

"Kami sedar kami akan terperangkap dengan lawan yang bermain dengan agresif.

"Benar kami kurang berkomunikasi dalam babak pertama. Kami memperbaikinya dalam babak kedua," katanya lagi.