Kieran Trippier berbesar hati dengan peluang untuk bekerja di bawah bimbingan Diego Simeone selepas melengkapkan perpindahan ke Atletico Madrid.

Pemain England, Trippier, secara rasmi menyertai kelab gergasi LaLiga itu daripada Tottenham Hotspur semalam selepas menandatangani kontrak selama tiga tahun bernilai GBP20 juta (RM102 juta).

Trippier menyinar ketika England layak ke separuh akhir Piala Dunia 2018 di Russia, namun bergelut untuk mengekalkan persembahan itu bersama Spurs musim lalu.

Kelab Serie A, Napoli, melahirkan minat buat pemain berusia 28 tahun itu sambil Juventus dan Manchester United turut dikaitkan dengannya tetapi Atletico akhirnya mengesahkan perpindahan buat Trippier.

Dan peluang untuk bekerjasama dengan Simeone jelas menjadi faktor utama untuk Trippier berhijrah ke Madrid.

"Ia satu perasaan bagus. Saya sentiasa mahu bermain di luar dan ini tempat hebat," katanya.

"Sebuah pasukan hebat, pengurus yang bagus dan saya tidak sabar untuk memulakannya.

"Mereka telah berada dalam beberapa final kejohanan utama dengan tampil cemerlang dalam LaLiga selama beberapa tahun. Mereka juga mempunyai pemain bertaraf dunia serta pengurus yang bijak.

"Saya tidak sabar untuk bekerja dengan pengurus, belajar daripadanya dan membantu pasukan meraih kejayaan di masa akan datang. Anda boleh melihat betapa rapatnya dia dengan pasukannya."

Trippier melakukan 38 penampilan dalam semua kejohanan buat Spurs musim lalu dan menyumbat satu gol.