Tottenham elak igauan ngeri sahkan tempat 

Oleh Penulis Jemputan 27 November 2019 537
Tottenham elak igauan ngeri sahkan tempat 
TOTTENHAM 4 OLYMPIACOS 2 

Harry Kane dan Dele Alli memberi kenyataan pedas terhadap aksi babak pertama Tottenham dalam Liga Juara-Juara (UCL) apabila bangkit mencipta kemenangan 4-2 ke atas Olympiacos awal pagi tadi dan yakin mereka dapat mengelak beraksi lebih buruk lagi sebelum rehat.


Permulaan buruk menyebabkan Spurs ketinggalan 0-2 selepas 19 minit permainan yang menyaksikan Youssef El-Arabi dan Ruben Semedo meledak gol untuk sentuhan pertama Jose Mourinho di laman sendiri yang hampir menuju detik menyedihkan. 

Namun, Alli merapatkan jurang menerusi jaringan lewat dalam separuh masa pertama sebelum Kane kembali mengimbangi kedudukan sejurus permainan bersambung -- mengatasi rekod Alessandro Del Piero apabila merakamkan 20 gol UCL selepas 24 perlawanan.

Serge Aurier kemudian memberikan tuan rumah kelebihan gol.

Kemasukan Christian Eriksen pada minit ke-29 bagi menggantikan Eric Dier seolah-olah menjadi titik kebangkitan skuad bimbingan Mourinho itu sambil Alli akur bahawa dia yang sepatutnya digantikan lebih awal.

"Saya berasakan kami akan mengalami kekalahan lalu pengurus membuat keputusan untuk menampilkan lebih ramai pemain tengah yang bercirikan serangan.

"Secara jujurnya, mana-mana antara kami memang patut dikeluarkan dalam tempoh 20 minit pertama permainan, khususnya saya sendiri," katanya kepada BT Sport. 

"Saya fikir saya beraksi dengan amat buruk dalam tempoh 20 minit pertama  tetapi ia adalah satu permainan sepasukan dan dengan bersungguh-sungguh, situasi pun berubah.

"Kami tidak bermula dengan cukup baik. Ketika rehat, kami berikrar untuk tidak mempamerkan aksi lebih buruk lagi, jelas ia merupakan langkah yang baik untuk memasuki babak kedua kerana menyedari kami hanya perlu bermain dengan lebih baik. "

Ketua pasukan, Kane, menambah: "Kami perlu tenang, kami hanya perlu menyumbat gol dan mendapatkan rentak tetapi kami perlu lebih tenang ketika menguasai bola, tidak perlu tergesa-gesa. Masih ada baki 45 minit permainan, jadi kami tidak memerlukan gol dengan segera. 

"Kami sedar keadaan tidak akan bertambah teruk sebagaimana dalam babak pertama, jadi kami turun dengan sedikit kebebasan dan itulah yang kami lakukan."

Kejayaan buat Spurs itu mengesahkan tempat mereka di peringkat kalah mati, namun kedudukan teratas berada di luar jangkauan mereka apabila Bayern Munich -- pasukan terakhir yang bakal dihadapi dalam perlawanan penutup Kumpulan B -- kini selesa mendahului dengan lima mata.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen