Clement Lenglet berkata Antoine Griezmann gembira di Barcelona dan yakin rakan sepasukannya itu akan berjaya di Camp Nou.

Griezmann gagal meraih prestasi terbaik di Catalonia sejak menyertai Barca daripada Atletico Madrid menerusi yuran EUR120 juta (RM547 juta) selepas musim lalu tamat.

Pemain berusia 28 tahun itu sering diletakkan selaku pemain sayap dan memiliki empat gol daripada 15 perlawanan dalam semua kejohanan tetapi gagal menghasilkan jaringan dalam lima aksi terakhir.

Namun, Lenglet -- yang juga merupakan rakan sepasukan Griezmann dalam skuad kebangsaan Perancis -- percaya penggempur itu masih belajar untuk menyesuaikan diri dengan gaya permainan baru selepas lima musim di bawah kendalian Diego Simeone di Atletico.

"Tidak mudah untuk menyesuaikan diri di kelab seperti Barca," ujar Lenglet.

"Sesetengah pemain sudah melakukannya dan mencatat sejarah bersama.

"Seperti dalam skuad Perancis, terdapat corak permainan yang spesifik. Bagaimana kami mencapai posisi adalah berbeza dengan apa yang dilalui Griezmann di Atletico, di mana dia bermula jauh dari belakang.

"Anda memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan padang serta gaya permainan.

"Di Barca, kami cuba untuk mendapatkan bola semula dengan pantas di atas padang menerusi larian 20 hingga 30 meter. Bersama Atletico, ia sedikit berbeza. Mereka di bawah dan berlari 50 hingga 60m. Jadi, anda harus mempelajarinya serta memerlukan masa.

"Secara fizikal dan mental, ia berbeza. Anda perlu bersedia. Griezmann bekerja setiap hari ketika latihan dan dia menjadi semakin bagus dalam setiap perlawanan, saya pasti tentangnya."

Ditanya sama ada Griezmann meraih prestasi berbeza bersama skuad Perancis, Lenglet yang bercakap menjelang aksi kelayakan menentang Moldova dan Albania berkata: "Berbeza adalah perkataan yang besar tetapi apabila dia bersama Perancis, dia sangat gembira.

"Dia sudah berada di situ dalam tempoh yang lama, beraksi dalam kejohanan besar dan meraih kejayaan yang indah. Sudah tentu dia tahu mengenai pasukan dan gembira untuk berada di sini. Dia mempunyai sejarah dengan pasukan."