Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane menegaskan, tidak ada apa yang berubah dalam perlumbaan gelaran LaLiga walaupun Barcelona seri di Sevilla.

Barca seri tanpa jaringan di Ramon Sanchez Pizjuan semalam, membuka pintu bagi Real untuk berkongsi mata dengan The Blaugrana jika mereka menang di Real Sociedad, hari ini.

Kemenangan akan menyaksikan Real mengatasi Barca di kedudukan teratas menerusi rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan.

Bercakap setelah seri, pemain pertahanan Barca, Gerard Pique, memberitahu Movistar Plus bahawa 'sangat sukar' bagi mereka untuk mempertahankan LaLiga, turut menyatakan bahawa 'sukar melihat Real kehilangan mata"' sejak saingan bersambung selepas ditangguh ekoran Covid-19.

Komen-komen itu dianggap oleh beberapa pihak sebagai merujuk terhadap pengadilan yang memihak Real ketika merekodkan kemenangan ke atas Eibar dan Valencia.

Zidane, bagaimanapun, kurang berminat terhadap kenyataan Pique dengan mengatakan, "Tidak ada apa yang berubah.

"Kami mempunyai perlawanan esok dan kami akan memberikan segala yang termampu tanpa memikirkan perkara lain."
Ditanya mengenai komen Pique, beliau menjawab: "Perkara yang menarik perhatian saya adalah perlawanan esok.

"Saya mempunyai pendapat saya, tetapi saya tidak akan mengulasnya kerana hal itu mampu terjadi sebaliknya. Apa yang mendorong kami sepasukan adalah perlawanan esok. Tidak ada yang lain."

"Saya tidak percaya mereka memihak kepada kami," kata Zidane ketika menekan apakah keputusan pengadil telah menguntungkan Los Blancos.