Pengarah Sukan Inter, Piero Ausilio, mendedahkan tidak didekati Real Madrid mengenai tawaran ke atas Mauro Icardi.

Juara LaLiga itu dikaitkan dengan pemain antarabangsa Argentina berkenaan susulan ketumpulan jentera serangan mereka musim ini yang diterajui Karim Benzema dan Cristiano Ronaldo -- yang merekodkan hanya empat gol liga manakala Gareth Bale bergelut dengan kecederaan.

Justeru, Icardi, yang telah menjaringkan 16 gol dalam 15 aksi Serie A, dikaitkan dengan Madrid yang dilaporkan sanggup mengaktifkan klausa kontraknya bernilai €110 juta (RM528.9j).

Begitupun, Ausilio mengatakan Madrid tidak membuat pendekatan dan yakin kapten kelab itu tidak akan tergoda untuk meninggalkan San Siro.

"Kami tidak perlu meyakinkan Icardi untuk kekal di Inter," katanya kepada Domenica Sportiva. "Dia mempunyai kontrak jangka masa panjang di sini dan hasratnya sangat jelas.

"Dia kapten kami dan dia mahu memenangi trofi dengan jersi ini, semuanya berjalan lancar mengenai soal kontrak dan klausa.

"Madrid tidak menghubungi kami dan mereka perlu meyakinkan Mauro untuk meninggalkan projek kami kerana dia adalah nadi kami," katanya lagi.

Ausilio memberi isyarat bahawa Inter akan memantapkan skuad itu pada jendela perpindahan Januari ini sambil memberi amaran tidak akan mengikat sebarangan pemain.

"Kami mempunyai idea yang jelas dan semua orang dalam skuad ini adalah pemain pasukan utama," tambahnya.

"Kumpulan ini adalah kekuatan kami. Oleh itu, kami tidak mahu sewenang-wenangnya berurusniaga pada Januari nanti.

"Kami adalah sebuah pasukan yang boleh diperkemaskan lagi dengan menandatangani pemain terbilang, namun saya belum menemui calon-calonnya setakat ini.

"Kami mantap pada masa ini dan kami mahu terus maju bersama skuad sedia ada," ujarnya.