AC Milan tidak menerima sebarang panggilan daripada Chelsea mengenai Gonzalo Higuain walaupun dia dilaporkan akan meninggalkan kelab, kata pengarah sukan kelab Serie A itu, Leonardo.

Higuain kini bergelut untuk mempamerkan sentuhan terbaik apabila gagal menghasilkan jaringan dalam sembilan aksi terakhir.

Milan mendapatkan Higuain menerusi pinjaman jangka panjang daripada Juventus, Ogos lalu, sambil The Rossoneri berpeluang untuk mendapatkannya secara tetap dengan nilai EUR36 juta (RM171 juta).

Bagaimanapun, laporan di Itali mendakwa Higuain telah bersetuju untuk berhijrah ke Chelsea dan kembali bersama Maurizio Sarri, individu yang membentuknya sehingga menjaringkan rekod 36 gol di pentas Serie A ketika di Napoli bagi musim 2015/16.

Menolak dakwaan itu, Leonardo memberitahu Sky Sport Italia: "Sukar untuk penyerang apabila tidak menjaringkan gol dan dia juga perlu mendapatkan sentuhan setelah dipinjam daripada Juve.

"Hubungan kami dengan Higuain sangat baik dan dia memainkan peranan utama buat pasukan. Dia memiliki ciri-ciri seorang ketua kerana telah meraih banyak kemenangan.

"Kami tidak pernah meragui kemampuannya, malah tidak mempersoalkan posisinya tahun ini.

"Chelsea atau pasukan lain, tiada sesiapa yang mengajukan tawaran untuknya. Tiada pihak yang bertanya tentang Higuain dan dia tidak meminta untuk meninggalkan pasukan.

"Dia adalah pemain Juve dan kami mempunyai pilihan di akhir musim. Tiada apa yang perlu dikatakan. Dia hanya perlu menunaikan tanggungjawabnya di atas padang."

Ditanya mengenai laporan bahawa Gennaro Gattuso akan dipecat sekiranya Milan gagal meraih keputusan positif susulan gagal meraih kemenangan dalam lima perlawanan terakhir, Leonardo memberitahu: "Kami tidak pernah terfikir untuk menggantikan Gattuso.

"Tiada perancangan untuk menukarkannya dengan pengendali lain tetapi kami menghaarpkan pasukan dapat mengutip keputusan positif ke atas SPAL. Tiada jurulatih yang sedang berbincang dengan Milan," ujarnya.