Pengendali Shakhtar Donetsk, Paulo Fonseca, menyatakan bahawa dia mempunyai kerisauan yang lebih besar berbanding keputusan penalti yang salah ketika tewas 0-6 kepada Manchester City dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Fonseca mendakwa barisan pemainnya itu kurang keberanian.

City memanfaatkan peluang menerusi keputusan mengarut yang memberikan mereka sepakan penalti selepas Raheem Sterling tersadung tanah dan terjatuh dalam kawasan tersebut.

Gabriel Jesus menyudahkan jaringan itu sebelum dia melakukan hatrik dalam perlawanan itu.

Kekalahan itu menyaksikan Shakhtar kini terperosok di dasar Kumpulan F dengan empat mata ketinggalan berbanding pasukan di kedudukan kedua, Olympique Lyonnais, dengan berbaki dua perlawanan.

"Tiada guna untuk bercakap mengenai sepakan penalti itu selepas kami memperoleh keputusan seperti ini," kata Fonseca kepada Futbol 2.

"Kami tewas kerana City bermain pada satu tahap yang berlainan, jauh lebih baik berbanding kami.

"Kami terlalu jauh untuk meraih kemenangan. Pasukan saya tidak mampu menyerlah. Mereka tidak memiliki keberanian.

"Kami mungkin bolos enam gol tetapi apa yang lebih teruk adalah kami takut kepada lawan.

"Masalah terbesar kami adalah ketakutan, kami tidak mempunyai keberanian.

"Disebabkan itu, kami tidak dapat membina corak permainan seperti yang kami mahukan.

"Kami masih berpeluang untuk layak. Kami perlu memenangi dua baki perlawanan dan mengharapkan keputusan memihak kepada kami dalam perlawanan lain.

"Kami akan cuba melakukannya walaupun ia amat sukar," tambahnya.