BENFICA 1 NAPOLI 2

Pepe Reina mengharapkan Napoli akan bertemu kelab dari Sepanyol di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah selepas berada di kedudukan teratas Kumpulan B apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas Benfica, awal pagi tadi.


Jaringan pada babak kedua oleh Jose Callejon dan Dries Mertens menyaksikan tiga mata penuh menjadi milik skuad Maurizio Sarri dan memastikan mereka mendapat tempat di peringkat kalah mati sebagai juara kumpulan.

Keputusan seri sudah memadai untuk Napoli tetapi mereka berhak menang di Lisbon. Mertens, pemain yang dibawa masuk dari bangku simpanan, memainkan peranan yang cukup penting dalam kemenangan tersebut.

Reina kini mengharapkan mereka bakal bertemu dengan pasukan dari LaLiga dalam pusingan seterusnya atau mungkin bekas kelabnya, Bayern Munich.

"Kami dalam kalangan 16 pasukan terbaik di Eropah," kata Reina kepada Mediaset Premium.

"Kami mencatatkan kemenangan kerana kami bermain dengan sepenuh hati dan dengan gaya permainan kami yang tersendiri, jadi kami layak untuk mendapatkan kemenangan tersebut.

"Berada dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, mana-mana pasukan yang anda hadapi akan menjadi sangat sukar.

"Ia menakutkan untuk melihat nama-nama pasukan yang layak ke pusingan seterusnya. Tetapi tiada apa yang perlu kami takutkan sebenarnya. Kami menghormati setiap pasukan.

"Saya ingin berdepan dengan kelab dari Sepanyol, mungkin Sevilla atau Real Madrid. Mungkin juga bekas pasukan saya, Bayern Munich."

Ketua jurulatih, Sarri, berasakan Napoli lebih berhak untuk berada di kedudukan teratas dalam kumpulan.

"Kami merupakan pasukan yang berada di dalam kumpulan yang bermain bola sepak dengan baik," katanya. "Kami berhak untuk berada di kedudukan teratas kumpulan.

"Kami mahu menang. Kami benar-benar mahu berada di kedudukan teratas, ia adalah satu pencapaian yang penting."