Ten Hag kecewa aksi cuai Ajax

Oleh Penulis Jemputan 24 Oktober 2019 91
Ten Hag kecewa aksi cuai Ajax
Pengurus Ajax, Erik ten Hag, kecewa dengan kecuaian dalam permainan pasukannya ketika tewas kepada Chelsea 1-0 dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi.

Michy Batshuayi meledak gol kemenangan ketika perlawanan berbaki empat minit untuk meraih tiga mata berharga buat The Blues, sekali gus menyamai Ajax dengan enam mata selepas tiga perlawanan Kumpulan H.

Ia merupakan kekalahan yang sukar buat Ajax selepas dua percubaan daripada Quincy Promes serta Edson Alvarez gagal menghasilkan jaringan di Arena Johan Cruijff.

Ten Hag berasakan tiada apa yang memisahkan kedua-dua pasukan tetapi mengakui Ajax tidak menampilkan permainan terbaik mereka.

"Ia merupakan perlawanan yang seimbang dan kami hampir menjaringkan gol," katanya.

"Perlawanan yang berkualiti kerap kali diputuskan menerusi permainan yang berkualiti dan Ajax memiliki beberapa kecuaian yang tidak dapat dielakkan. Kekecewaan sangat besar kerana tiada apa yang membezakan kami dengan lawan."

Pertahanan tengah, Daley Blind, berasakan seri adalah keputusan yang lebih adil buat kedua-dua pasukan.

"Kami perlu menyalahkan diri sendiri kerana jaringan yang terhasil adalah berpunca daripada kami disebabkan tidak memberikan tumpuan sepenuhnya. Seri tanpa jaringan adalah keputusan yang lebih adil buat kedua-dua pasukan," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen