TCFC didenda gagal bayar pampasan

Oleh Tengku Danish Bahri 23 Disember 2018 1424
TCFC didenda gagal bayar pampasan
Juara Piala FAM, Terengganu City (TCFC), dihukum Jawatankuasa Tatatertib, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas melanggar Artikel 67.1 Kod Tatatertib FAM edisi 2015.

TCFC didapati bersalah gagal membayar tunggakan RM60,000 serta pampasan baki kontrak berjumlah RM120,000 kepada bekas jurulatihnya, Roshadi Wahab.

Didenda sebanyak RM1,500, The Sharks dikehendaki menjelaskan jumlah tersebut dalam masa 14 hari waktu bekerja dari tarikh penerimaan keputusan tersebut.

"Amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika gagal atau enggan mematuhi tempoh diberikan," kata satu kenyataan FAM hari ini.

Turut dikenakan hukuman atas kesalahan sama ialah Persatuan Bolasepak Pulau Pinang, Kuantan FA dan Kelab Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Keputusan itu dicapai selepas jawatankuasa yang dipengerusikan Datuk Baljit Singh Sidhu bermesyuarat kali kesembilan bagi penggal 2017 hingga 2021 pada 6 Disember lalu.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen