Gennaro Gattuso menolak untuk menyatakan pendiriannya mengenai sama ada AC Milan akan melakukan langkah mengejut mengikat bekas penyerang kelab, Zlatan Ibrahimovic.

Laporan mencadangkan Ibrahimovic menjadi sasaran Rossoneri yang kehilangan penyerang dalam kemenangan ke atas Sassuolo, Ahad lalu, akibat kecederaan yang melanda skuadnya, termasuk Gonzalo Higuain.

Ibrahimovic meraikan ulang tahunnya yang ke-37 semalam dan menjaringkan gol ke-500 dalam kekalahan LA Galaxy kepada Toronto dalam saingan MLS bulan lalu.

Bekas penyerang Sweden itu telah meledak 20 gol MLS sejak meninggalkan Manchester United, namun Gattuso enggan mengulas panjang mengenai spekulasi tersebut.

Gattuso, yang masa depannya sendiri dilaporkan dalam keraguan, mencadangkan sebarang keputusan perpindahan akan ditentukan oleh kepimpinan kelab berdasarkan strategi Pengarah Pembangunan dan Sukan, Paolo Maldini, Leonardo serta pengerusi, Paolo Scaroni.

"Hari ini adalah hari jadinya (Ibrahimovic), jadi saya mengucapkan semoga gembira kepadanya," kata Gattuso dalam sidang berita menjelang perlawanan Liga Europa menentang Olympiacos, awal pagi esok.

"Saya hanya akan bercakap mengenai pemain yang saya ada. Selain daripada itu, anda kena tanya Maldini, Leonardo dan Scaroni.

"Hari ini, saya hanya mahu mengucapkan selamat hari jadi kepada Ibra dan berharap semuanya dalam keadaan terbaik.

"Ibra sudah berusia 37 tahun tetapi dia masih mampu menghasilkan gol."

Higuain tidak dapat diturunkan dalam dua perlawanan terakhir membabitkan Milan, namun kelibat penyerang Argentina itu tidak dirindui ketika mereka melakar kemenangan 4-1 di Sassuolo, Ahad lalu.

Samu Castillejo bermain sebagai penyerang tengah untuk menjaringkan gol pertamanya bersama Milan sementara Franck Kessie turut menemui sasaran penyudah pertamanya sejak Februari lalu.

Namun, Gattuso berkata Higuain mungkin bersedia untuk kembali menghadapi gergasi Greece, Olympiacos, memandangkan penggempur itu menjaringkan gol dalam tiga penampilan terakhirnya.

"Anda perlu mengagumi Higuain atas apa yang dilakukan dan sumbangannya ketika membantu pemain lain," kata Gattuso.

"Saya tidak pernah menganggap ketiadaannya akan menimbulkan masalah kepada kami sungguhpun adalah lebih baik untuk selalu memiliki khidmatnya dalam pasukan.

"Kami perlu memahami cara untuk membantu dan meletakkannya dalam keadaan terbaik dalam usaha memburu jaringan. Ia merupakan nilai tambah bagi kami.

"Dia sudah kembali berlatih, mari kita lihat sama ada dia akan bermain pada Ahad nanti kerana saya mempunyai keraguan lain dalam fikiran saya, malah dia juga boleh bermain esok."