Dayot Upamecano telah diberikan amaran untuk menandatangani kontrak baru bersama RB Leipzig atau akan dijual pada tahun ini.

Bek tengah itu berkembang menjadi salah seorang pertahanan hebat di Eropah sejak menyertai Leipzig daripada Salzburg pada 2017.

Pemain berusia 21 tahun itu menyinar di barisan bawah walaupun prestasinya tampak merudum sejak Bundesliga kembali bersambung dan dia diperintahkan keluar padang sewaktu diikat Paderborn 1-1, Sabtu lalu.

Upamecano -- yang memiliki kontrak sehingga Jun 2021 -- dikatakan memiliki klausa perpindahan bernilai EUR60 juta (RM290 juta) yang akan berakhir pada hujung bulan ini.

Pengarah sukan Leipzig, Oliver Mintzlaff, menegaskan kelab itu tidak boleh mempertimbangkan untuk melepaskan pemain itu secara percuma pada 2021.

"Upamecano adalah pemain penting buat kami serta menjadi antara tonggak paling berbakat di posisi itu di Eropah," katanya.

"Satu jaminan, kami memiliki persefahaman dengan dia dan ejennya bahawa dia tidak akan dilepaskan secara percuma. Kami tidak boleh menampungnya.

"Jadi, ada dua pilihan. Lanjutkan kontrak atau ubah. Saya yakin kami tahu hala tuju pasukan."

Menurut Bild, Arsenal telah melakukan bidaan berjumlah RM290 juta tetapi ditolak pada awal musim ini.

Manchester United turut dikaitkan dengan pemain yang memulakan karier bersama Valenciennes dan Liefering sebelum ke Salzburg.