Majlis Daerah Besut (MDB) berada dalam kelas tersendiri selepas menamatkan Liga Amatur Terengganu (TAL) dengan rekod tanpa kalah untuk muncul juara dan memenangi RM2,000 berserta trofi.

Menang bergaya 6-1 ke atas Gemuda FC, semalam, MDB mengutip 23 mata manakala Real Chukai terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua dengan 17 mata apabila tumpas 0-3 kepada CND FC.

Kemenangan itu melayakkan CND FC ke Piala TAL mengiringi MDB, Real Chukai serta pasukan di tangga ketiga, Island FC, yang mengalahkan Kebilal FC 2-0.

Pasukan di tangga kelima dan keenam, FC Pemanis dan BTK FC, akan berentap dalam aksi playoff bagi menentukan slot ke Piala TAL yang menawarkan hadiah lebih lumayan.

Sementara itu, kejuaraan Liga Perdana dimenangi DSPEX FC yang mengumpul 24 mata daripada sembilan perlawanan, sekali gus membawa pulang RM1,000 berserta trofi.

Di tangga kedua ialah Markless ST manakala dua slot playoff ke Piala TAL diisi Akademi Terengganu (ATFC) dan Myxini FC.

Lapan pasukan terbaik selepas ini akan berentap merebut Piala TAL menerusi format kalah mati dengan hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi menanti pasukan juara.

Kredit foto: Liga Amatur Terengganu (TAL)