Penolong kapten skuad bawah 22 tahun negara, Adib Zainuddin, berasakan ketiadaan beberapa tonggak pertahanan, termasuk kapten, Faris Shah Rosli, tidak menjejaskan rancangan pasukan untuk bertemu Brunei.

Ketiadaan Faris Shah ekoran kecederaan bakal menyaksikan Adib bergandingan dengan Dominic Tan di benteng akhir.

Skuad negara turut menerima khabar buruk beberapa hari sebelum perlawanan apabila Ariff Farhan Md Isa disahkan mengalami kecederaan ligamen lutut (ACL).

"Bagi saya, tiada masalah untuk bergandingan dengan sesiapapun. Sekarang, peluang untuk pemain lain beraksi, jadi tiada masalah untuk kami bermain di pertahanan yang terakhir," katanya.

Sementara itu, penolong kapten Brunei, Shahrazen Said, tidak menganggap kelibat pemain muda skuad negara sebagai kelebihan kepada pasukannya yang rata-rata dibarisi pemain senior.

"Lawan dengan pemain-pemain muda ini adalah satu cabaran kerana tempo dan kepantasan mereka, maklumlah pemain muda. Tetapi, kami akan memberi saingan."

Dua pertemuan skuad bawah 22 tahun negara dengan Brunei akan dibawakan secara langsung di Astro Arena, saluran 801 dan 802 HD.

Dua perlawanan berkenaan berlangsung esok, jam 8.30 malam dan Sabtu, jam 5.00 petang.