KELANTAN 1 T-TEAM 1

Impian juara bertahan, Kelantan, untuk membawa bekalan selesa ke Kuala Terengganu tidak kesampaian apabila perlawanan akhir pusingan pertama Piala Presiden bertemu T-Team di Kota Bharu malam ini berkesudahan seri 1-1.


Skuad bimbingan Hashim Mustapha memerlukan 55 minit untuk menjaringkan gol pertama perlawanan menerusi Danial Ashraf.

Ketumpulan barisan hadapan pada separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan gagal untuk melakukan jaringan walaupun dihidangkan dengan peluang terbaik.

Kelantan bermula garang menerusi penyerang berbakat, Nik Azli Nik Alias, yang hampir menggegar gawang T-Team menerusi dua percubaan cantik seawal lima minit pertama.

Minit ke-25 menyaksikan Zarulizwan Mazlan mempunyai peluang terbaik untuk meletakkan T-Team di hadapan tetapi percubannya tepat menemui penjaga gol Kelantan, Syihan Hazmi.

Percubaan demi percubaan terus dilakukan oleh kedua-dua pasukan, namun mereka buntu untuk mendapatkan jaringan. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 0-0.

Bersambung babak kedua, usaha Kelantan akhirnya membuahkan hasil apabila sepakan percuma dari jarak 24 meter yang diambil oleh Daniel Ashraf, menemui penjuru kiri pintu gol untuk meletakkan Kelantan di hadapan pada minit ke-55.

Bagaimanapun, kegembiraan Kelantan tidak bertahan lama. Memasuki minit ke-63, giliran T-Team untuk menjaringkan gol apabila Engku Nur Shakir menanduk masuk untuk mengikat kedudukan 1-1.

Jaringan penyamaan T-Team nyata tidak disenangi oleh Kelantan yang berusaha untuk menjarakkan kedudukan.

Minit ke-79, Azwan Aripin mempunyai peluang untuk meletakkan Kelantan kembali di hadapan, sayangnya percubaan tersebut sedikit melewati pintu gol T-Team.

T-Team berdepan peluang terbaik untuk menjaringkan gol kemenangan pada penghujung permainan tetapi percubaan Mohamad Raimi Syahir Muhamad sedikit tersasar, sekaligus menyaksikan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat permainan.