Ahmad Syihan Hazmi bertekad merampas semula posisi penjaga gol utama selepas kembali menyertai skuad bawah 23 tahun negara untuk menghadapi Kejohanan AFC B-23 di China, Januari depan.

Pemain Kelantan itu merupakan penjaga gol utama ketika pasukan berkenaan di bawah bimbingan Frank Bernhardt.

Namun, dia kehilangan tempat susulan mengalami kecederaan serius patah tangan kanan, Jun lalu, sekali gus terlepas aksi kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok pada Julai dan Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Sudah pulih sepenuhnya untuk kembali ke pangkuan skuad muda negara, Syihan membawa semangat baru dalam usahanya membuat kemunculan semula di pentas antarabangsa.

"Saya tidak jangka (dapat bersama pasukan). Saya mahu merakamkan penghargaan kepada jurulatih, (Datuk Ong Kim Swee) kerana masih percaya kepada saya. Saya sangat bersyukur.

"Tangan yang patah sudah baik dan tidak ada rasa sakit lagi. Saya kini berada dalam 100 peratus," katanya.

Syihan pernah mendapat panggilan skuad senior kebangsaan bimbingan Datuk K. Rajagobal ketika usianya 17 tahun.

Memiliki reputasi hebat, dia bagaimanapun mengakui perlu bersaing sengit merebut tempat bersama tiga penjaga gol lain untuk dipilih ke China nanti.

"Tempat saya memang sengit dan semuanya bagus. Sekarang saya perlu bekerja keras untuk merebut tempat itu," katanya.