Pemain tengah Malaysia, Syamer Kutty Abba, berlepas ke Thailand bersama skuad negara hari ini untuk misi kelayakan Piala Asia 2019 berbekalkan motivasi tambahan buat keluarganya dan seluruh rakyat Pulau Pinang yang terjejas dengan banjir yang melanda negeri itu.

Syamer mengakui dia berasa risau dengan situasi banjir di Pulau Pinang ketika ini.

Namun, dia bersyukur semua ahli keluarganya selamat dan kini bertekad untuk menggembirakan peminat tempatan di Pulau Pinang dengan keputusan positif berdepan Korea Utara di Buriram, Thailand, pada Jumaat ini dan Isnin depan.

"Alhamdulilah, keluarga saya di Pulau Pinang bertambah baik, banjir juga sudah mulai surut.

"Sebelum ini saya berasa agak risau dan perkembangan ini menambah semangat kepada saya untuk menghadiahkan berita gembira kepada keluarga," katanya.

Syamer yang membuat penampilan pertama bersama skuad senior negara ketika aksi kelayakan berdepan Hong Kong, 10 Oktober lalu, mengakui kini lebih bersedia.

Kehadiran ramai tonggak berpengalaman daripada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) turut menambah keyakinannya.

"Sebagai pemain muda, saya sentiasa mahu belajar daripada pemain senior. Dengan pengalaman dan tunjuk ajar daripada mereka, perlawanan kali ini boleh dikatakan menarik," ujarnya.