Biarpun sekadar bertindak sebagai pemain gantian, Syafiq Ahmad, membuktikan dirinya mempunyai keunggulan tersendiri dengan meledak dua gol penting buat pasukan B-22 tahun negara.

Syafiq menjelaskan jaringan kedua pada minit ke-83 berdepan Brunei dalam perlawanan persahabatan di Stadium Paroi malam tadi, antara yang terbaik buatnya tahun ini.

Dapat membaca baik bola daripada Syazwan Andik, Syafiq yang tidak dikawal oleh pertahanan Brunei, pantas menerpa menerusi tandukan terbang.

"Memang sebelum itu saya tidak dikawal, apabila melihat bola dilambung ke belakang dan tiada siapa yang menjaga saya, saya berasakan bola tersebut adalah milik saya untuk disudahkan.

"Untuk tahun ini, jaringan tersebut merupakan antara jaringan yang terbaik untuk saya," katanya.

Menurut pemain Kedah itu, dia tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk disenaraikan selaku kesebelasan utama dalam aksi kedua berdepan Brunei.

Jelasnya, dia selesa untuk memainkan apa jua peranan yang diberikan, sama ada selaku kesebelasan utama atau pemain gantian.

"Saya tidak boleh memberika apa-apa komen tetapi semua pemain, kalau boleh mahu beraksi di dalam kesebelasan utama.

"Kami akan melihat nanti bagaimana perancangan jurulatih. Jika dia mahu saya berada di dalam kesebelasan utama, saya akan membuktikan bahawa saya layak untuk berada di dalam skuad utama.

"Tetapi jika saya berada di bangku simpanan terlebih dahulu, saya akan pastikan kemasukan saya membawa perubahan yang lebih baik kepada pasukan."