MEXICO 0 SWEDEN 3

Sweden mengesahkan tempat ke pusingan kedua Piala Dunia 2018 setelah menewaskan Mexico 3-0 dalam aksi penuh mendebarkan di Ekaterinburg Arena tatkala juara bertahan, Jerman, tersingkir.


Skuad kendalian Janne Andersson itu menggunakan kesempatan asakan bertali-arus untuk mengesahkan status selaku juara Kumpulan F sambil Mexico mengikut langkah mereka selepas Jerman tewas mengejut 2-0 di tangan Korea Selatan.

Walaupun tewas 2-1 di tangan Jerman dalam aksi sebelum ini, Sweden nyata tidak menunjukkan sebarang kesan walaupun permintaan mereka untuk dihadiahkan sepakan penalti susulan bola terkena tangan Javier Hernandez tidak dituruti oleh pengadil, Nestor Pitana, walaupun selepas melihat semula rakaman video.

Aksi cemerlang Guillermo Ochoa membuatkan Emil Forsberg dan Marcus Berg gagal memecah kebuntuan tetapi sepakan voli Ludwig Augustinsson melepasi penjaga gol Mexico itu, sekali gus memberikan pendahuluan buat Sweden pada minit ke-50.

Andreas Granqvist melebarkan kedudukan 12 minit kemudian setelah Pitana menunjukkan isyarat sepakan penalti susulan insiden terjahan Hector Moreno terhadap Berg, membuatkan pertahanan Mexico itu bakal terlepas aksi pusingan kedua ekoran layangan kad kuning.

Edson Alvarez melengkapkan kemenangan Sweden dengan jaringan sendiri pada minit ke-74 tetapi Mexico tetap meneruskan kemaraan kerana kegagalan Jerman menundukkan Korea Selatan sehingga menyebabkan mereka menduduki tangga terbawah dalam carta Kumpulan F.

Jesus Gallardo muncul pemain paling pantas menerima kad kuning dalam sejarah Piala Dunia selepas halangan lewat keatas Ola Toivonen tatkala aksi baru berusia 15 saat, namun bek kiri Mexico itu pantas mengeluarkan bola daripada sepakan percuma sebelum sempat disambut Granqvist setelah Berg dijatuhkan.

Sweden terus memberikan tekanan awal buat lawan dan pada minit kelima, Ochoa bertindak cemerlang apabila menafikan usaha Forsberg walaupun Granqvist mendakwa penjaga gol itu menyentuh bola di luar kotak penalti.

Berg gagal mengawal keadaan badannya untuk menanduk bola hantaran Granqvist sebelum Forsberg melepaskan dua peluang dalam masa tiga minit.

Hernandez bernasib baik tidak menghadiahkan sepakan penalti buat lawan selepas bola terkena tangannya pada minit ke-29 tatkala Pitana memberi isyarat agar perlawanan diteruskan, memberikan sepakan sudut buat Sweden selepas melihat rakaman video di tepi padang.

Sebastian Larsson terpaksa ditenangkan daripada mempersoalkan tindakan pengadil dan Sweden berpeluang mencatat jaringan ketika Berg cuba menyambung usaha Mikael Lustig yang merebut bola daripada Ochoa.

Percubaan Carlos Vela sekadar meliar buat Mexico, menyaksikan usaha pertamanya gagal mengenai sasaran manakala Berg hanya menggegarkan tepi jaring gol dalam satu serangan balas dalam tambahan masa babak pertama.

Sweden meraih gol pembukaan yang dicari-cari pada minit ke-50 selepas Augustinsson melepaskan sepakan voli melepasi Ochoa setelah Viktor Claesson membuka ruang yang sempurna buatnya.

Selepas menafikan sepakan penalti buat Sweeden ketika babak pertama, Pitana akhirnya menuding ke arah titik penalti selepas Moreno membentes Berg dan Granqvist tidak berdepan masalah untuk merembat ke penjuru kiri gawang.

Sweden terus melebarkan pendahuluan pada minit ke-74 apabila pemain gantian, Isaac Thelin, melakukan lontaran ke dalam yang jauh sehingga membuatkan Alvarez menyumbat gol sendiri setelah bola terkena bahunya.

Vela gagal menyempurnakan peluang hasil gerakan Hernandez dari dalam kotak penalti pada minit ke-82 tetapi cabaran Mexico di Russia tetap akan diteruskan walaupun aksi yang dipamerkan ternyata berbeza jika dibandingkan dengan persembahan sewaktu menewaskan Jerman 1-0.