Sunyi sikitlah tanpa Messi, kata Ramos 

Oleh Shaiful Shamsudin 3 September 2020 4499
 Sunyi sikitlah tanpa Messi, kata Ramos 
Ketua Real Madrid, Sergio Ramos, berharap kapten Barcelona, ​​Lionel Messi, kekal bersama Blaugrana demi kebaikan LaLiga tatkala bapa penggempur Argentina itu sedang berusaha mencari jalan keluar. 

Messi menggegarkan kem Barca minggu lalu apabila memaklumkan hajatnya untuk berpindah sementara ayah merangkap ejennya, berada di Catalonia semalam bagi mengadakan perjumpaan dengan pengurusan kelab, terlebih dahulu mengatakan bahawa "adalah sukar" bagi anaknya itu untuk kekal.

Mesyuarat itu berlangsung pada waktu petang sebelum berakhir sekitar jam 9 malam waktu tempatan dengan media di sana melaporkan kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat. 

Pemain lincah itu mempunyai klausa perpindahan dalam kontraknya yang akan membolehkannya berhijrah secara percuma pada akhir musim 2019-20 dan walaupun ia dikatakan telah berakhir pada hujung Mei lalu, pemain tersebut serta wakilnya percaya ia masih lagi sah memandangkan kempen musim lalu dilanjutkan kerana wabak COVID-19. 

Sebaliknya, Barca -- yang telah disokong oleh LaLiga -- menjelaskan klausa itu telah tamat dan pertemuan semalam diadakan dengan harapan mereka dapat mencapai persefahaman untuk membolehkan Messi beralih angin ke Manchester City.

Ramos, yang sedang menjalani persiapan untuk memperkuatkan Sepanyol bagi menghadapi perlawanan antarabangsa, sinonim berseteru dengan Messi di medan 'El Clasico' -- sebaliknya lebih suka sekiranya Barca dapat mengekalkannya.

"Masalah ini tidak membimbangkan kami (Madrid)," katanya kepada wartawan. 

"Dia berhak untuk menentukan masa depannya.

"Saya tidak tahu apakah dia akan melakukannya dengan cara terbaik tetapi tentu saja untuk bola sepak Sepanyol, Barcelona dan bagi kami sendiri, yang menggemari kemenangan dan muncul sebagai yang terbaik, kami mahu dia kekal di sini.

"Ini akan menjadikan kancah LaLiga dan pasukannya lebih baik dan pertemuan El Clasico lebih menarik. Satu lagi yang saya mahu tambah -- dia telah berusaha mencapai reputasi seperti itu.

"Saya tidak perlu timbulkan spekulasi, kita akan melihat apa yang berlaku kelak. Bagi kami, ini bukan satu berita yang membimbangkan."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen