Pemain naturalisasi Malaysia, Mohamadou Sumareh, yang memulakan latihan pertamanya dengan skuad Harimau Malaya hari ini, berkata penerimaan baik jurulatih dan rakan sepasukan memudahkannya untuk menyesuaikan diri.

Malah, kata pemain sayap Pahang yang meraikan ulang tahun ke-27 bulan lalu itu, dia langsung tidak kekok atau berasa seperti warga asing semasa menjalani latihan hari ini.

“Ini latihan pertama saya bersama pasukan, namun saya rasa saya sudahpun menjadi sebahagian daripada mereka.

"Kami menjadi sebuah pasukan berkualiti tinggi apabila semua pemain serasi di padang,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan Harimau Malaya di Stadium Hang Tuah.

Katanya, dia perlu menyesuaikan diri serta mengenali rakan sepasukan dengan cepat agar dapat “membayar balik” kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepadanya.

Sumareh yang gembira dengan peluang yang diberikan oleh ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, berkata: “Semua pemain di dunia mahu mewakili pasukan kebangsaan… ini semua bagaikan mimpi, saya benar-benar gembira.”

Bagaimanapun, dia mengakui berasa sedikit tertekan apabila peminat tidak sabar menunggu aksinya bersama Harimau Malaya.

Menyifatkan itu sebagai cabaran, Sumareh berjanji untuk memberikan yang terbaik di padang asalkan peminat tidak memberikan tekanan kepadanya.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata beliau dan barisan jurulatih mengalu-alukan kedatangan Sumareh dalam skuad kebangsaan dan berharap pemain berasal dari Gambia itu dapat menyesuaikan diri dengan pemain lain sebagai sebuah keluarga.

“Saya fikir dia (Sumareh) tidak mengalami masalah besar untuk mendekati pemain lain kerana mereka pernah beraksi dalam Liga Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Cheng Hoe berkata tiga pemain Akram Mahinan, Nor Hakimi Hassan dan Rawilson Batuil -- akan direhatkan daripada perlawanan persahabatan antarabangsa kelas ‘A’ menentang Sri Lanka di Colombo, Jumaat ini, kerana mengalami kecederaan.


-- BERNAMA