Pertahanan skuad bawah 22 tahun negara, Mohamad Faris Shah Rosli, masih menaruh harapan untuk beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos tahun depan biarpun peluangnya tampak tipis selepas mengalami kecederaan lutut, anterior cruciate ligament (ACL).

Faris Shah ditimpa kecederaan itu ketika menjalani latihan bersama skuad negara awal bulan ini.

Pertahanan muda Kelantan berkenaan terpaksa berehat enam hingga sembilan bulan untuk kembali pulih sepenuhnya.

Berdasarkan tempoh itu, Faris Shah hampir pasti tersisih daripada skuad Sukan SEA, walaupun dia belum menganggap peluangnya sudah berakhir.

"Keyakinan itu masih lagi ada. Dalam tempoh enam bulan, saya mesti buat kerja lebih ketika sesi pemulihan.

"Sukan SEA merupakan salah satu impian saya untuk beraksi, ditambah dengan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah. Saya berharap dapat sembuh sepenuhnya sebelum temasya itu," katanya.

Selain Faris Shah, jurulatih skuad muda negara, Frank Bernhardt, juga mungkin terpaksa melupakan khidmat pertahanan kanan dari Kedah, Ariff Farhan Md Isa, yang turut mengalami kecederaan ACL.

Ketiadaan dua pemain itu bakal dirasai Bernhardt memandangkan mereka adalah pemain tonggak selepas menjadi tunjang utama pasukan negeri masing-masing musim ini.

Namun, Faris Shah tetap yakin terhadap pemain sedia ada untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan mereka.

"Kesefahaman di antara pemain dan jurulatih semakin kelihatan. Pemain sudah mula mengetahui apa yang diinginkan oleh jurulatih. Jadi, latihan bersama perlu dilakukan untuk terus membentuk keserasian.

"Malaysia mempunyai peluang di Sukan SEA. Apa yang penting, persaingan yang tinggi perlu diberikan untuk mendapatkan pingat emas," tambah Faris.