Luis Suarez dijangka akan terlepas kebanyakan baki perlawanan musim ini selepas penyerang Barcelona dan Uruguay itu menjalani pembedahan lutut.

Pemain berusia 32 tahun itu dilaporkan bergelut dengan masalah meniskus luaran di lutut kanannya sepanjang beberapa minggu lalu sebelum Barca mengumumkan bahawa mereka membuat keputusan untuk dia menjalani pembedahan semalam.

Pada awalnya, Barca menjangkakan Suarez hanya akan berehat selama sebulan, namun perkembangan terbaru selepas pembedahan itu -- yang diketuai pakar lutut, Dr. Ramon Cugat -- mengesahkan bahawa penyerang berkenaan akan berehat selama empat bulan.

Dengan kehilangan Suarez, yang menjaringkan 14 gol dalam kesemua kejohanan musim ini, ia memberikan tamparan hebat buat Barca, yang tidak memiliki sebarang penyerang utama lain.

Ia juga akan merumitkan keadaan pengurus, Ernesto Valverde, yang dilaporkan sedang berada dalam tekanan hebat di Camp Nou, dengan terdapat laporan mendakwa bekas ikon skuad Blaugrana itu, Xavi, berpotensi mengambil alih tempatnya selaku pengurus.

Masih belum terdapat sebarang pengesahan sama ada Barca akan memanfaatkan jendela perpindahan bulan ini untuk membawa masuk penyerang baru atau mengharapkan Lionel Messi, Antoine Griezmann, Ansu Fati, Carles Perez dan pemain yang masih cedera, Ousmane Dembele, untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan itu.

Selain akan terlepas perlawanan penting bersama Barca -- termasuk perlawanan menentang Napoli dalam pusingan 16, Liga Juara-Juara Eropah bulan depan dan pertembungan Clasico di Santiago Bernabeu pada Mac depan -- Suarez juga tidak dapat mewakili Uruguay dalam perlawaan pembukaan pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Chile dan Equador sepanjang tempoh itu.



Editor: Muzaffar Musa