Bintang Barcelona, Luis Suarez, dilabel sebagai penyerang terbaik dunia oleh rakan senegaranya yang juga pertahanan Atletico Madrid, Diego Godin.

Suarez, yang baru-baru ini dinobatkan pemenang Anugerah Kasut Emas Eropah selepas kejayaannya menyumbat 40 gol musim lalu, secara tidak langsung memberinya pengiktirafan peribadi.

Godin amat mengenali penggempur berkenaan semasa terbabit dengan pertembungan dalam La Liga, selain bergandingan dengan Suarez di peringkat antarabangsa bersama Uruguay.

Justeru, dia sedar betapa bagusnya bekas bintang Liverpool itu.

"Dia pemain memakai jersi No.9 yang terbaik di dunia," kata Godin kepada ESPN. "Sukar untuk merantainya memandangkan kami selalu bertembung.

"Dia sangat licik, mempunyai gerakan hebat dan merupakan penyerang yang amat rumit untuk dikekang."