Bintang Atletico Madrid, Luis Suarez yakin mereka mampu memenangi kejohanan besar musim ini.

Suarez tiba dari Barcelona pada awal kempen 2020-21 apabila membantu kelab ibu kota Sepanyol itu muncul pasukan tunggal yang belum pernah tewas dalam LaLiga musim ini.

Atletico memenangi lima daripada tujuh perlawanan pembukaan mereka untuk tiga mata di belakang peneraju kejutan, Real Sociedad, yang beraksi lebih dua perlawanan -- selain belum kalah dalam 23 perlawanan berturut-turut LaLiga, iaitu rekod kebal terbaik mereka dalam sejarah liga malah diangkat sebagai pasukan terbaik dalam kalangan lima liga Eropah utama ketika ini.

Pasukan bimbingan Diego Simeone itu -- muncul naib juara pada 2014 dan 2016 -- juga menduduki tempat kedua Kumpulan A, Liga Juara-Juara (UCL) selepas tiga perlawanan, lima mata terikat dengan juara bertahan, Bayern Munich.

Suarez telah meledak lima gol LaLiga -- menyamai angka rakan sepasukan, Joao Felix - dan menyorot kembali karier awalnya di Madrid, pemain berusia 33 tahun itu memberitahu Marca Sport Weekend: "Saya sangat menikmatinya. Saya mengikuti jalan Atleti .

"Pasukan ini begitu bersatu padu, mantap, bercita-cita tinggi. Kami semua sudah bersedia dan yakin dapat mencapai perkara besar."

Rojiblancos hanya sekali mencipta kejayaan di peringkat kumpulan UCL musim ini, sekali gus mengingatkan mereka mengenai prestasi buruk pada musim 2009-10 dan 2017-18 (gagal mencatat sebarang kemenangan) lalu tersingkir awal.

Mereka juga hanya memang sekali dalam lima perlawanan terakhir UCL (seri sekali dan kalah tiga kali), dengan kemenangan terakhir itu dilakar ketika menundukkan Liverpool di Anfield, Mac lalu.





"Saya fikir UCL sangat berbeza dengan LaLiga," katanya lagi.

"Ini semua mengenai momen setiap pasukan. (Perlawanan) sekarang sangat melibatkan fizikal. Perlawanan menentang Bayern pula adalah kerana mereka lebih ampuh daripada kami. Daripada lima atau enam peluang dicipta, mereka meledak empat jaringan. Kami mempunyai lebih banyak peluang tetapi gagal memanfaatkannya.

"Ia harga yang mahal dalam UCL.

"Jika kami meningkatkan ketajaman, kami mampu bersaing dengan Bayern yang merupakan pasukan terbaik di Eropah ataupun Liverpool, yang telah kami singkirkan musim lalu.

"Sekiranya kami tahu apa yang diidamkan dan percaya kepada diri sendiri, kami mampu memandangkan kami memiliki pemain, watak dan kualiti.

"Kami hanya perlu klinikal pada saat-saat penting itu. Itulah yang harus dilakukan dalam UCL."

Suarez dan Barcelona akan bertemu semula selepas rehat antarabangsa apabila Atletico menjadi tuan rumah kepada pasukan dari Catalan itu, awal pagi Ahad ini.