Bayern Munich merupakan pencabar utama Liga Juara-Juara (UCL), tetapi Luis Suarez menganggap pertemuan Barcelona dengan wakil Jerman itu dalam suku akhir akan menjadi 50-50.

Barca mengatasi Napoli 3-1 di Camp Nou awal pagi tadi untuk memastikan agregat 4-2 sekali gus mengatur pertemuan dengan Bayern di Estadio da Luz, Sabtu depan, selepas mereka menumpaskan Chelsea 4-1 untuk mara dengan agregat 7-1.

Cerita di Catalonia mungkin berbeza jika usaha Dries Mertens seawal minit kedua menerjah jaring berbanding tiang.

Namun, Clement Lenglet meletakkan Barca di depan tujuh minit kemudian manakala gol solo Lionel Messi disusuli dengan sepakan penalti daripada Suarez.

Napoli merapatkan jurang menerusi sepakan penalti Lorenzo Insigne sebelum tamat babak pertama, tetapi Barca tetap bertahan untuk menempah slot ke suku akhir di Lisbon.

Dengan peringkat seterusnya akan diputuskan dalam satu perlawanan sahaja berbanding format timbal balik yang lazimnya diamalkan, penggempur itu tidak nampak pemisah di antara pasukan kendalian Quique Setien tersebut dengan juara Bundesliga berkenaan.

"Setiap orang mempunyai peluang dalam satu perlawanan, ia menjadi 50-50," katanya kepada Movistar.

"Bayern merupakan lawan yang hebat, mereka adalah pencabar kejuaraan seperti kelapan-lapan pasukan di Lisbon kelak, tetapi ia tetap 11 lawan 11 selama 90 minit.

"Kami perlu melihat pasukan manakah yang beraksi dengan lebih baik untuk kemaraan ke separuh akhir."

Mengenai perlawanan menentang Napoli, dia menambahkan: "Inilah yang kami mahukan. Selama dua minggu sejak LaLiga berakhir, kami telah bersiap sedia untuk menghadapi kejohanan ini kerana mengetahui kemampuan lawan yang mampu menyukarkan kami seperti dalam pertemuan pertama," katanya lagi.

"Apa yang penting ialah kami layak dan sekarang kami perlu memikirkan lawan seterusnya.

"Napoli adalah pasukan yang menjana banyak peluang dalam liga. Kami tahu mereka akan melakukannya. Kami dilanda kegelisahan pada awal permainan tetapi kami beroleh gol pertama.

"Jaringan mereka menimbulkan ketidaktentuan tetapi saya fikir kami berjaya mengatur permainan dengan baik."