Raheem Sterling menegaskan jumlah jaringan menakjubkan yang dicipta musim ini tidak memberi sebarang makna jika Manchester City gagal meraih sebarang kejuaraan.

Pemain England itu menyumbat dua gol dalam babak kedua untuk membantu City menang ke atas Oxford City 3-1 dalam suku akhir Piala EFL awal pagi tadi.

Dua ledakan di Stadium Kassam itu membolehkan Sterling mencatat 18 gol musim ini dalam semua kejohanan dan dia berharap ia memberikan pulangan di penghujung musim tatkala juara England itu mencabar empat trofi kejuaraan musim ini.

"Ia tidak memberi sebarang makna tanpa trofi dan selepas itu, baru saya gembira dengan jumlah jaringan yang dilakukan," katanya.

"Kami cuba bersaing dalam setiap kejohanan. Ia bukan sahaja Liga Perdana Inggeris tetapi turut merangkumi Piala EFL, Piala FA serta Liga Juara-Juara Eropah."

Sterling menyempurnakan hantaran lintang Angelino untuk kembali meletakkan City di depan selepas Matty Taylor memadamkan gol pembukaan Joao Cancelo dan bekas penggempur Liverpool itu meledakkan jaringan jarak dekat hasil daripada usaha Gabriel Jesus untuk mengesahkan slot separuh akhir.

Pengendali City, Pep Guardiola, memberikan Sterling lilitan kapten dan teruja untuk melihat pemain berusia 25 tahun itu meletakkan nama dalam senarai penjaring buat kali kedua berturut-turut selepas turut meraih jaringan ketika menundukkan Arsenal 3-0 hujung minggu lalu.

"Tidak kira siapa yang jaringkan gol tetapi saya gembira untuknya," ujar pengendali dari Sepanyol itu.

City memenangi trofi Piala EFL selama dua musim berturut-turut dan akan menentang Manchester United dalam dua aksi separuh akhir.