Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde, menyifatkan kemenangan 3-0 ke atas Las Palmas di Stadium Camp Nou yang kosong semalam merupakan "situasi yang janggal buat setiap pemain".

Jaringan Sergio Busquets dan dua gol daripada Lionel Messi mengekalkan rekod tanpa kalah Barcelona dalam saingan LaLiga, tetapi ia merupakan perlawanan yang akan diingati buat jangka masa panjang disebabkan keadaan unik yang melingkarinya.

LaLiga telah menolak permohonan Barcelona untuk menunda perlawanan itu kerana pergolakan yang berlaku di Catalonia disebabkan satu pungutan suara untuk kemerdekaan yang diisytiharkan tidak mengikut perlembagaan oleh kerajaan Sepanyol.

Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, menerangkan keputusan yang telah diambil untuk bermain dalam stadium tanpa kehadiran penyokong kerana menolak kejadian yang berlaku di Catalonia serta papan keputusan memaparkan mesej "Democracia", dengan ilustrasi sebuah peti undi.

Bercakap dalam sidang media pasca-perlawanan, Valverde mengakui bahawa suasana di stadium ternyata memberikan impak kepada prestasi pasukannya selepas Barca gagal menjaringkan sebarang gol pada babak pertama perlawanan.

"Ia ternyata amat sukar. Ia merupakan satu situasi yang janggal buat semua orang, malah menyulitkan.

"Kami menyedari bahawa kelab telah berusaha untuk menangguhkan perlawanan ini. Ia tidak boleh dilakukan, jadi kami mengambil keputusan untuk bermain secara tertutup.

"Terdapat ketika dalam perlawanan kami gagal untuk mencari rentak.

"Ia sukar, ia bukan satu situasi yang mudah. Kami tidak begitu fokus.

"Kami berpura-pura bahawa segala-galanya tenang dan terhormat tapi keadaan sebenarnya tidak demikian. Marilah kita berharap agar segala-galanya akan kembali kepada asal," katanya lagi.